Home Liberalisme AWAS!!! BAHAYA GOLONGAN ISLAM LIBERAL YANG CUBA MENTAFSIR SEMULA AL-QURAN MENGIKUT LOGIK...

AWAS!!! BAHAYA GOLONGAN ISLAM LIBERAL YANG CUBA MENTAFSIR SEMULA AL-QURAN MENGIKUT LOGIK AKAL DAN FAHAMAN LIBERAL BARAT

457
0

Fahaman liberal bukan hanya melanda umat Islam, bahkan pemikiran liberal juga turut berlaku dalam agama lain seperti agama Yahudi dan Kristian sendiri. Liberalisme dalam setiap agama sering dikaitkan dengan revolusi industri, perkembangan idealism politik dan kemajuan teknologi.

Dalam mengharungi kemajuan kemodenan, lahir dalam kalangan penganut agamanya yang membuat pentafsiran baru pada kitab agama masing-masing dengan alasan ia lebih bersesuaian dengan perubahan zaman dan ideologi mereka sehingga terdapat sebahagian tafsiran baru yang membawa kepada perubahan besar pada maksud sebenar yang terkandung di dalam kitab masing-masing termasuklah agama Islam itu sendiri.

Fahaman liberal ini menular masuk dalam agama Islam apabila lahirnya ramai ilmuan yang cenderung kepada orientalis barat. Mereka menekankan bahawa penafsiran semula al-Quran perlu menggunakan cara baru yang moden dan tidak mengikut metodologi yang ada. Golongan Islam liberal ini mengandaikan bahawa itulah sikap yang matang dalam beragama dan orang yang tidak berfikir seperti mereka adalah orang yang tidak matang, kolot dan ketinggalan zaman. Hal ini bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mengajarkan bahawa terdapat ajaran yang mutlak dan tidak berubah-ubah seperti tauhid, wahyu, kenabian, perkara akhirat, ada bentuk-bentuk ibadah yang tetap dan pasti yang tidak boleh diubah atau dipesongkan mengikut akal dan pemahaman liberalisme Barat.

Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya ‘Islam and Secularism” telah mengupas tentang bagaimana golongan orientalis menjadikan senjata ampuh bagi menjatuhkan Islam. Ia satu pendekatan halus bagi menawan Islam dan umatnya dengan merosakkan akidah umat Islam. Hal ini dilakukan melalui gerakan yang cuba menimbulkan keraguan kepada al-Quran yang menjadi panduan hidup umat Islam dan cuba menafsirkan semula al-Quran berdasarkan logik akal dan fahaman liberalisme dan sekularisme Barat yang menyesatkan.

Individu mahupun masyarakat yang tidak mempunyai pengetahuan asas tentang Islam mudah terpengaruh dengan ideologi ini. Ideologi gerakan pemikiran yang hanya berpaksikan nilai kemanusiaan tanpa elemen teras dalam Islam ini didapati telah menolak konsep akidah dan ketuhanan.

Promosi pemikiran humanism ini dilonjak dengan wujudnya teknologi komunikasi dan maklumat. Dunia tanpa sempadan dan gerakan yang ‘mengecilkan’ kuasa dan sistem kerajaan untuk memberi kebebasan kepada hak kebebasan kepada hak individu sehingga menjadikan harta serta kebendaan sebagai perkara terpenting dan meminggirkan nilai agama.

Sumber: Kertas Seminar Antarabangsa Aqidah @ Pemikiran Islam 2016, KUIS