Home Hizbut Tahrir PENYEBARAN IDEOLOGI HIZBUT TAHRIR DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) AKAN MENYEMAI UNSUR-UNSUR...

PENYEBARAN IDEOLOGI HIZBUT TAHRIR DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) AKAN MENYEMAI UNSUR-UNSUR KEGANASAN DALAM INSTITUSI PENDIDIKAN YANG BOLEH MENGGUGAT KEHARMONIAN NEGARA

1429
0

Pendidikan adalah sesuatu perkara yang sangat penting. Melalui pendidikan, seseorang akan memiliki ilmu pengetahuan, kemahiran hidup dan wawasan pada masa hadapan. Namun, melalui pendidikan juga boleh menjadi ancaman yang serius apabila sesuatu ilmu tersebut diresapi oleh ideologi yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

Menyedari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai tempat yang paling mudah dan berkesan untuk menyemai sesuatu fahaman, kumpulan Hizbut Tahrir juga mengambil kesempatan untuk menyebarkan fahamannya secara lebih intensif bermula sejak tahun 2005 lagi.

Penyebaran ideologi Hizbut Tahrir terutamanya dalam kalangan golongan cerdik pandai dilihat berjaya mempengaruhi golongan pelajar, pendidik dan kakitangan di IPT-IPT untuk menyertai gerakan Hizbut Tahrir untuk menjadi anggota mereka. Malah ada sebahagian pendidik yang terlibat secara langsung  sebagai penasihat atau pemimpin gerakan yang mempunyai peranan penting dalam penyebaran fahaman tersebut di IPT-IPT dan juga di kalangan masyarakat.

Secara rasionalnya, golongan cerdik pandai yang membarisi barisan hadapan Kumpulan Hizbut Tahrir ini memberi kecenderungan yang tinggi kepada rakyat untuk turut terpengaruh dengan ideologi yang dibawa kerana mereka mudah percaya dengan kreadibiliti seseorang sebagai pendidik yang dianggap sebagai golongan yang terpelajar.

Menurut Dr. Husamuddin ‘Afanah, Profesor Usul Fiqh, Universiti al-Quds menyifatkan Hizbut Tahrir banyak mengemukakan ideologi yang menyalahi nas-nas syarak. Antaranya akidah Hizbut Tahrir didapati menyimpang daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan cenderung kepada akidah mu’tazilah.

Menurut beliau lagi, Hizbut Tahrir juga berpegang dengan pemikiran ‘tabanni’ yang mewajibkan penganut akur dengan sebarang fatwa yang ditentukan oleh pemimpin Hizbut Tahrir tanpa diketahui siapa yang mengeluarkannya atau meneliti otoriti individu yang mengeluarkan fatwa tersebut.

Oleh yang demikian, adalah menjadi suatu yang amat berbahaya sekiranya ideologi Hizbut Tahrir ini tersebar luas melalui  sektor pendidikan terutamanya di IPT. Ianya bukan sahaja berjaya mempengaruhi penuntut dan kakitangan di IPT-IPT yang menjadi ikon masyarakat dengan ideologi radikal Hisbut Tahrir, malah ia boleh menimbulkan suasana huru-hara yang akan mengancam keharmonian negara kerana ideologinya tidak selari dengan fahaman yang dipegang oleh rakyat Malaysia iaitu fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sumber: e-Sumber Maklumat Fatwa, Bali Express 29 April 2019 dan e-Sumber Maklumat Fatwa, JAKIM