Home Kemanusiaan/Motivasi AMBILLAH IBRAH (PENGAJARAN) KISAH ‘LOCKDOWN’ NABI YUNUS A.S. MENGHADAPI KESUKARAN DENGAN BERSABAR,...

AMBILLAH IBRAH (PENGAJARAN) KISAH ‘LOCKDOWN’ NABI YUNUS A.S. MENGHADAPI KESUKARAN DENGAN BERSABAR, MEMPERBANYAKKAN ZIKIR, BERTAUBAT SERTA MENGHARAP PERTOLONGAN ALLAH SWT

817
0

Tahun ini merupakan tahun kedua umat manusia berdepan dengan cabaran wabak Covid-19 sejak pandemik itu melanda dunia pada penghujung tahun 2019. Banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa dilalui, antaranya kehilangan punca mata pencarian akibat perlaksanaan PKP penuh, kenaikan kos sara hidup, peningkatan kes saban hari dan juga kehilangan nyawa orang tersayang akibat jangkitan virus tersebut. Hingga akhirnya, ada di kalangan kita hilang pertimbangan, hilang kawalan dan emosi dan menyalahkan takdir sekaligus pemerintah negara akibat kegagalan menangani penularan wabak tersebut.

Mari kita hayati sejenak kisah Nabi Yunus A.S yang terperangkap di dalam perut ikan paus selama 40 hari kerana terlalu marah kepada kaumnya yang sukar diajak untuk beriman kepada Allah SWT. Akibatnya, Baginda mengancam kaumnya bahawa akan diturunkan azab oleh Allah SWT dan Baginda kemudiannya melarikan diri meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah.

Baginda menaiki sebuah kapal yang berpenumpang penuh. Semasa berlayar, kapal tersebut dipukul badai ribut yang kuat dan hampir karam. Untuk menyelamatkan keadaan, bilangan penumpang kapal tersebut perlu dikurangkan. Undian terpaksa dibuat untuk menentukan siapa yang perlu dikorbankan untuk dibuang ke laut. Namun dalam undian yang dibuat tenyata baginda terpilih sebagai penumpang yang terpaksa dicampakkan ke laut untuk mengurangi jumlah penumpang bagi menyelamatkan kapal tersebut daripada dipukul badai ribut yang kuat itu. Setelah dicampakkan ke laut, baginda akhirnya ditelan oleh seekor ikan paus.

Selama 40 hari di dalam perut ikan paus bersendirian dengan tiada sebarang bantuan makanan, teman berbicara dan tentunya bantuan-bantuan lain, Baginda akhirnya insaf dan sedar kesalahannya kerana terlalu beremosi, kurang sabar dan menyalahkan pihak lain. Lalu dengan kesedaran itulah Nabi Yunus A.S bertaubat dengan kalimat “Laa Ilaaha illaa Anta Subhaanaka inni kuntu minazh zhaalimin” yang bermaksud:

“Tiada Tuhan kecuali Engkau, Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.” (QS Al – Anbiya’: 87)

Apa yang hendak diterangkan di sini adalah seberat apa pun dugaan dan ujian yang menimpa, kita tidaklah harus beremosi dan menyalahkan takdir. Sebaliknya kita digalakkan untuk sentiasa memperbanyakkan zikir dan taubat. Ujian yang mendatang tanda Allah SWT sayang kepada para hambaNya dan Allah SWT ingin kita kembali kepadaNya. Mungkin selama ini kita telah tersasar jauh hingga menyebabkan hilang pertimbangan sehingga tidak nampak akan kesalahan sendiri.

Bersyukurlah apabila kita di dalam tempoh ‘Lockdown’ ini ada sedikit sebanyak bantuan yang diterima dan tidak berseorangan berbanding Nabi Yunus A.S yang terpaksa mengharungi sunyinya kehidupan akibat daripada khilaf Baginda sendiri yang kurang kesabaran. Jangan putus asa, teruskan beribadah, berzikir dan bertaubat kepada Allah SWT seraya memohon keampunan dan pertolongan supaya Allah SWT mengangkat ujian ini daripada hidup kita. Firman Allah SWT:

“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (QS Az – Zumar: 53)

Sumber: Berita Harian Singapura (23 Ogos 2019)