Home Hizbut Tahrir AWAS!!! JANGAN TERPENGARUH DENGAN HASUTAN HIZBUT TAHRIR YANG INGIN MEMPENGARUHI RAKYAT DENGAN...

AWAS!!! JANGAN TERPENGARUH DENGAN HASUTAN HIZBUT TAHRIR YANG INGIN MEMPENGARUHI RAKYAT DENGAN MEMPERTIKAIKAN LANGKAH KERAJAAN MENUTUP MASJID DI MUSIM PKP

574
0

Baru-baru ini tular video kenyataan yang dikeluarkan oleh Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, Abdul Hakim Othman, yang membidas laporan polis yang dilaporkan oleh orang awam terhadapnya yang melakukan aktiviti seusai selepas solat jumaat di sebuah masjid. Kumpulan Hizbut Tahrir dikatakan telah mengadakan demonstrasi dengan memegang poster-poster dengan tujuan untuk menyampaikan mesej kepada pemerintah atau kerajaan supaya membuka masjid.

Menurut Jurucakap Hizbut Tahrir itu lagi, mereka tetap dengan pendirian mereka bahawa masjid itu tidak boleh ditutup dan memang pemerintah menanggung dosa apabila menutup masjid walaupun dalam keadaan wabak. Bagi mereka, nas-nas yang membincangkan tentang solat jumaat adalah nas-nas yang sangat jelas bahawa masjid itu tetap wajib dibuka, umat Islam yang mana sihat boleh solat di masjid dan tidak boleh dihalang untuk menunaikan solat di masjid.

Berdasarkan ulasan Jurucakap Hizbut Tahrir tersebut, umat Islam perlulah berhati-hati dalam menerima seruan daripada mana-mana tokoh, pertubuhan mahupun individu yang menyeru untuk solat jemaah di masjid sedangkan ketetapan telah dibuat oleh pihak kerajaan berdasarkan maslahah umum dan berdasarkan dalil dan hujah yang amat jelas. Banyak pihak yang menggunakan hadis-hadis dhaif iaitu lemah sebagai sumber hukum bagi menjustifikasikan tindakan tersebut.

Sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengeluarkan fatwa berkaitan isu keharusan meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah ketika penularan wabak Covid-19. Berdasarkan dalil-dalil yang dirujuk dalam mengeluarkan hukum tersebut dilihat mengetengahkan beberapa perkara penting.

Antaranya ialah kewajipan meraikan salah satu daripada maqasid syariah iaitu menjaga nyawa (hifz al-nafs). Haram seseorang itu sengaja membiarkan dirinya terdedah kepada bahaya dan kebinasaan dengan tidak mengambil langkah-langkah pencegahan yang telah ditetapkan. Sepertimana dalam firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”

Terdapat juga kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa setiap tindakan pemerintah terhadap rakyatnya perlu didasari dengan kemaslahatan. Ini kerana jika dibiarkan berlakunya perhimpunan beramai-ramai walau apa jua tujuan, maka ia sangat berisiko untuk membawa kepada kemudharatan dan kebinasaan. Penjelasan oleh pihak berkuasa agama seperti Menteri Agama, Mufti-mufti, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Pejabat Agama Negeri-negeri, JAKIM, tokoh-tokoh agama, pendakwah bebas yang terkenal dan berbagai pihak lagi telah banyak dibuat dengan memberi alasan dan dalil-dalil yang jelas. Begitu juga, hukum dan ketetapan untuk menutup masjid atas maslahah umum ini juga telah dibahaskan dan telah dijelaskan oleh ulama-ulama terkenal seluruh dunia termasuk di Mekah dan Madinah. Kenapa kumpulan Hizbut Tahrir ini masih menunjukkan kebiadapan dengan mempertikaikan keputusan yang dibuat itu sedangkan ulama satu dunia yang memfatwakan keharusan berdasarkan maslahah ummah? Siapa mereka yang bertindak biadap seolah-olah bertindak sebagai ‘ulama besar’ yang mengkritik pihak berkuasa agama dan mempertikaikan fatwa yang telah dikeluarkan itu?

Oleh yang demikian, umat Islam khususnya di Malaysia wajib patuh dan taat pada setiap arahan dan ketetapan pemerintah sebagai langkah pencegahan daripada kemudharatan dan kebinasaan. Semua rakyat perlulah sentiasa menjaga diri dan kebersihan. Ingatlah bahawa mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan