Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda:
“Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain itu ada enam: (iaitu) apabila engkau bertemu dengannya, ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu, penuhilah undangannya, apabila dia meminta nasihat kepadamu, nasihatilah dia, apabila dia bersin lalu mengucapkan Alhamdulillah, doakan dia (dengan mengucapkan Yarhamukallah), apabila dia sakit, jenguklah dia, dan apabila dia meninggal, iringilah jenazahnya.” (Sahih Muslim: 4023)
Sebagai umat Islam, adalah menjadi kewajipan kita untuk menunaikan tanggungjawab dan hak ke atas seseorang Muslim lainnya. Tanggungjawab ini kita tidak boleh di abaikan dan dipandang ringan sahaja. Apabila kita dengan ikhlas memenuhi tanggungjawab ini maka kita akan mendapat pahala dan ganjaran yang besar disisi Allah SWT. Begitu juga sebaliknya apabila kita meninggalkan tanggungjawab dan hak sesama Muslim kita akan mendapat dosa dan di akhirat dan Allah SWT sudah pasti akan murka kepada kita.
Seperti yang diterangkan di dalam hadis Nabi SAW di atas, terdapat beberapa tanggungjawab seorang Muslim ke atas Muslim yang lain dan antaranya seperti berikut mengucapkan salam, menghadiri undangan majlis kenduri jika tiada halangan, memberikan nasihat apabila diminta, mendoakan kesejahteraannya, berziarah apabila adanya keuzuran dan mengiringi jenazahnya apabila dia meninggal dunia. Sudah menjadi ajaran di dalam al-Quran dan As-Sunnah yang mengajar kita untuk saling memuliakan sesama Muslim. Bukankah semua Muslim itu bersaudara? Tidak perlulah ada layanan kelas-kelas tertentu. Ia diibaratkan seperti ‘racist’ kerana membeza-bezakan taraf seseorang Muslim mengikut pangkat mereka.
Islam tidak membezakan taraf hidup semua Muslim di dunia ini. Begitu juga dengan kita. Maka, tunaikanlah tanggungjawab dan hak sesama Muslim tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Rasulullah SAW telah mendidik dan membentuk peribadi serta sikap kita terhadap Muslim lain agar selalu tolong-menolong, saling hormat-menghormati, saling doa-mendoakan agar selamat selalu, bukan saling kutuk mengutuk, hidup ‘nafsi-nafsi’ dan saling salah-menyalahkan. Oleh itu, tanamkan dalam jiwa kita, sahabat-sahabat yang lain dan anak-anak kita bahawa kemuliaan dan kesempurnaan seseorang di sisi Allah SWT bukanlah hanya terletak pada penyermpurnaannya terhadap hak Allah saja, tetapi kesempurnaan manusia adalah sangat tergantung sampai di mana dia dapat menyempurnakan semua hak; hak Allah, hak diri, hak keluarga, hak masyarakat, hak sesama insan, hak sesama Muslim dan lain-lainnya.
Sumber: Koleksi Hadis 156: Enam Hak Sesama Muslim / Laman Web UTM
(https://people.utm.my/ajmain/2016/02/07/koleksi-hadis-156-enam-hak-sesama-muslim/)