Lisan adalah anugerah terindah yang Allah SWT berikan kepada kita. Dengan lisan kita boleh berkomunikasi dan mengungkapkan isi hati kepada orang lain. Namun jika nikmat ini tidak dijaga, maka ia bukan lagi menjadi anugerah tetapi sebaliknya menjadi bumerang kepada pemiliknya. Oleh itu, Rasulullah SAW mengingatkan kepada umat manusia dengan memberi ancaman yang keras dengan neraka bagi sesiapa yang tidak berhati-hati menjaga lisannya. Rasulullah SAW bersabda:
“Sungguh seseorang hamba berbicara dengan satu kalimat dengan kalimat itu tidak terasa ia akan tergelincir ke dalam neraka lebih jauh daripada jauhnya timur dan barat.” (Muttafaqun ‘Alaih).
Kita selalu dengar para agamawan berkata, takutlah dengan seksaan azab neraka Allah SWT. Akan tetapi, adakah kita berusaha untuk menjauhi azab seksaan itu? Boleh dikatakan kebanyakannya tidak. Ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri, kita tidak berusaha untuk menjauh darinya malah berbangga untuk ‘check in’ atas dosa-dosa yang dilakukan. Dalam berjuta dosa-dosa manusia, dosa lisanlah yang menjadi punca utama mengapa ramai manusia bakal dihumban ke dalam neraka. Oleh sebab itu wujudnya frasa ayat “lidah lebih tajam dari bilah pisau’. Kerana sedikit ayat, mampu menggores hati banyak pihak.
Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, si fulanah rajin solat sunat malam, puasa di siang hari, mengerjakan (berbagai kebaikan) dan bersedekah, Cuma ia suka mengganggu para tetangganya dengan lisannya?”. Bersabda Rasulullah SAW: “Tiada kebaikan padanya, dia termasuk penghuni neraka.” Mereka bertanya lagi: “Sesungguhnya si fulanah (yang lain) mengerjakan (hanya) solat wajib dan bersedekah dengan sepotong keju, namun tidak pernah mengganggu seorang pun?”, Bersabda Rasululullah SAW: “Dia termasuk penghuni syurga.” (HR Bukhari).
Ingatlah, sebanyak mana pun amalan ibadah dan kebajikan yang kita lakukan tidak akan dihitung oleh Allah SWT jika kita tidak menjaga adab dan lisan kita kepada manusia. Pada hari ini dosa lisan banyak digantikan dalam bentuk tulisan yang kadang kala lebih kesat, buruk, penuh dengan adu domba, umpatan, kejian, fitnah dan berita palsu yang ditularkan di FB, Twitter, Whatsapp, Telegram dan lain-lain. Ingatlah, Allah SWT telah memberikan amaran kepada orang yang tidak menjaga lisannya di dalam surah al – Humazah bahawasanya mereka akan dicampakkan ke dalam neraka Hutamah. FirmanNya.
Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam “Al-Hutamah”. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Al-Hutamah” itu? (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya), Yang naik menjulang ke hati; Sesungguhnnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka. (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang. (QS al – Humazah: 4 – 9).
Oleh itu, marilah kita sama – sama memelihara adab lisan kita agar tidak menyakiti perasaan orang lain. berkata-katalah dengan sesuatu perkataan yang baik atau lebih elok jika kita diam. Sesungguhnya dosa lisan mungkin hanya didengar oleh beberapa orang namun dosa tulisan akan berkekalan dan tersebar keseluruh dunia di alam tanpa sempadan ini. Ingatlah kepada pesanan Rasullullah SAW supaya sentiasa menjaga lisan kerana menjaga lisan adalah antara salah satu syarat yang mendapat jaminan syurga seperti sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang boleh memberi jaminan kepada ku (untuk menjaga) apa yang ada di antara dua janggutnya (lisan/mulut) dan dua kakinya, maka akan aku berikan jaminan kepadanya masuk syurga.” (HR Bukhari).
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)