Hari raya dinamakan dengan aid (عيد) kerana hari raya datang dengan kegembiraan pada setiap tahun. Setelah sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga, maka pada hari raya umat Islam dianjurkan untuk bergembira. Persoalannya raya sehari atau raya sebulan?
Di dalam Islam, terdapat dua hari raya yang telah disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT. Menurut riwayat Imam Ahmad, ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, penduduk Madinah telah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari tersebut dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha”
Apa yang membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain?
Bezanya adalah beberapa ibadat yang diperintahkan bersempena dengannya. Secara khusus, pada hari raya Aidilfitri, umat Islam disyariatkan untuk menunaikan zakat fitrah, solat sunat hari raya, memperbanyakkan takbir bermula daripada malam hari raya sehingga imam memulakan solat dan beberapa amalan sunat lain yang disyariatkan. Bahkan pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa. Semua ini hanya berlaku pada 1 Syawal dan bukan pada hari-hari lain dalam bulan Syawal.
Bolehkah amalan-amalan lain dilakukan sebulan dalam bulan Syawal atas nama sambutan Aidilfitri? Adakah termasuk dalam perkara bid’ah yang tercela?
Amalan-amalan lain seperti ziarah-menziarahi, menjamu makanan, bermaaf-maafan dan memberi hadiah atau duit raya sebagaimana yang menjadi adat di Malaysia sepanjang bulan Syawal adalah harus. Bahkan terdapat banyak hadis yang menyebut anjuran Islam untuk menyambung hubungan silaturrahim dan memuliakan tetamu. Apa yang menjadi tradisi di Malaysia setiap kali bulan Syawal adalah adat kebiasaan yang baik. Mana-mana adat yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak maka hukum asalnya adalah harus.
Justeru itu, umat Islam perlu fahami bahawa hari raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada 1 Syawal. Syawal kedua dan seterusnya tiada sesiapa pun yang mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, menjamu makan dan seumpamanya. Amalan-amalan tersebut juga tidak semestinya diadakan pada bulan Syawal sahaja. Ia hanyalah sekadar suatu tradisi yang diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia dan hukumnya adalah harus. Pada masa yang sama, umat Islam dinasihatkan juga supaya tidak lupa untuk berpuasa sunat enam Syawal dan tidak membazir atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak sepanjang aktiviti atau majlis ziarah.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan