Home Kemanusiaan/Motivasi TUNAIKANLAH AMANAH DENGAN SEBAIK MUNGKIN KERANA IA MERUPAKAN PRASYARAT KEIMANAN SESEORANG

TUNAIKANLAH AMANAH DENGAN SEBAIK MUNGKIN KERANA IA MERUPAKAN PRASYARAT KEIMANAN SESEORANG

1245
0

Setiap daripada kita ini adalah khalifah kecil di bumi yang hidup untuk menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan untuk menggapai redha Allah SWT. Tidak kiralah, sama ada tanggungjawab antara seorang pemimpin kepada rakyatnya, seorang anak kepada kedua ibu bapanya atau juga seorang majikan kepada pekerjanya. Masing-masing perlu menggalas amanah ini dengan sewajarnya. Sabda Rasulullah SAW:

“Tiada iman bagi orang yang tidak memegang amanahnya dan tiada agama bagi orang yang tidak dapat dipegang janjinya.” (HR Ahmad dan Dailami).

Sifat amanah adalah prasyarat dalam menilai keimanan seseorang. Orang yang pecah amanah dan tidak melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan serta menyeleweng adalah salah satu daripada tiga sifat orang¬ orang munafik iaitu apabila diberikan sesuatu amanah, dia khianat. Kita harus ingat setiap orang akan disoal mengenai amanah dan tanggungjawab yang dipikulnya pada hari perhitungan nanti sebagaimana maksud firman Allah SWT dalam surah al – Muddathir ayat 38 bahawa setiap anggota tubuh yang dipertanggungjawabkan terhadap perkara yang dilakukan dan tiada siapa yang dapat lari di hadapan Allah SWT nanti. FirmanNya:

“Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya.”

Beringatlah, setiap apa yang dilakukan itu adalah amanah dan tanggungjawab kita terhadap Allah SWT. Laksanakanlah amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi, lebih-lebih lagi terkait soal ibadah dan akidah. Ingat, Allah SWT Maha Melihat apa yang kita lakukan dan Allah SWT telah menjanjikan balasan dan azab yang dahsyat bagi orang yang tidak melaksanakan amanah dengan sebetulnya. Firman Allah SWT:

“Dan tidak mungkin seorang nabi berkhianat (dalam urusan harta rampasan perang). Barangsiapa berkhianat, niscaya pada hari Kiamat dia akan datang membawa apa yang dikhianatkannya itu. Kemudian setiap orang akan diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang dilakukannya, dan mereka tidak dizalimi.” (QS Ali ‘Imran: 161).

Sumber: Berita Harian (16 Jun 2020)