Sudah menjadi lumrah kehidupan manusia di muka bumi ini, ada yang baik, ada yang tidak baik dan ada juga yang berpura-pura. Kita ini ibarat ‘pelakon’ dan dunia ini ibarat ‘pentas’ yang penuh dengan seribu satu karakter yang sukar dibaca namun terzahir sedikit demi sedikit. Salah satu karakter yang paling dibenci adalah sikap iri hati dan dengki. Ini kerana sikap ini kebanyakannya dimulai dengan kepura-puraan. Berpura-pura suka dengan kelebihan yang dimiliki seseorang lalu mengatur strategi menjatuhkan pihak terbabit dan memburuk-burukkannya.
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan fizikal, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.” (HR Bukhari, Muslim & Ahmad).
Sifat iri hati dan dengki ini tidak akan membawa manusia ke mana-mana. Sebaliknya, mereka yang akan merasa tidak aman dengan tindakan mereka yang telah mengundang kemarahan Allah SWT. Di dalam Islam, perasaan hasad dan dengki itu pada asasnya adalah dilarang, dan ia jelas dinyatakan melalui ayat al-Qur’an dan hadith kecuali pada perkara-perkara kebaikan, dan ia pada asasnya tidaklah disebut sebagai hasad, bahkan ia lebih merupakan satu keinginan (ghibtoh atau raghbah) untuk dikurniakan kelebihan yang sama agar dapat meningkatkan amalan kebaikan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah SWT) sepanjang malam dan siang.” (HR Bukhari).
Justeru, didiklah diri dan hati kita dari terus bersikap iri hati dan dengki terhadap manusia lain khususnya sesama Muslim. Tidak malukah kita apabila musuh-musuh Islam mentertawakan kita kerana telah berjaya mempengaruhi kita semua agar terus berbalah, iri hati dan khianat sesama sendiri yang akhirnya membawa kita kepada jurang perpecahan. Jauhi sifat iri hati dan dengki sesama Muslim yang akhirnya mengundang bala dan kemurkaan Allah SWT.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan