Home Liberalisme KENAPA FAHAMAN LIBERAL SESAT? MENGAMBIL PEMIKIRAN BARAT YANG BERCANGGAH DENGAN ISLAM SEBAGAI...

KENAPA FAHAMAN LIBERAL SESAT? MENGAMBIL PEMIKIRAN BARAT YANG BERCANGGAH DENGAN ISLAM SEBAGAI PEGANGAN DAN DIANGGAP SEBAGAI SIMBOLIK KEMAJUAN

1148
0

Liberalisme adalah satu bentuk fahaman sekularisme, iaitu memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu tindakan atau amalan bebas dari ketentuan agama. Seperti semua sedia maklum, dalam menyelarikan kehidupan berasaskan modenisasi Barat, golongan berfahaman liberal terus menjadikan akal sebagai sumber hukum dan asas kepada pegangannya. Malah mereka juga bersepakat mengutamakan logik akal daripada menggunakan al-Quran dan al-Hadis dalam hujah.

Ada pula dalam kalangan kumpulan liberal secara terus terang mengungkapkan niat mereka menghancurkan Islam kerana terpengaruh dengan pemikiran liberalisme dan juga sekularisme. Ada yang berusaha membina keraguan dalam kalangan orang Islam dengan menggunakan fakta dan istilah mengelirukan atau dengan cara memutarbelitkan fakta dan realiti ajaran Islam dengan gaya dan pemikiran gerakan mereka.

Mereka memilih orang sesat dan keliru sebagai ketua dan menganggap ulama atau cerdik pandai Islam sebagai individu yang konservatif dan tidak tahu mengenai hak asasi manusia. Hakikatnya, golongan liberalisme ini ingin mengajak Muslim mengikut pemikiran Barat (westernisasi), sekali gus menghilangkan akidah Islamiah dalam diri umat Islam. Ini juga adalah satu jalan memudahkan musuh Islam menghancurkan Islam, sehingga mereka menganggap fahaman liberal suatu keperluan yang mendesak, penting serta sangat sesuai dengan kemajuan Islam untuk masa hadapan.

Begitulah usaha yang bersungguh-sungguh mereka lakukan untuk melemahkan Islam dengan memasukkan nilai liberalisme dan kemanusiaan dalam ajaran Islam dan juga akidah umat Islam. Hasrat itu diungkapkan oleh seorang orientalis bernama Gibb yang menyebut, “reformasi adalah program utama dari liberalisme Barat. Kita mengharapkan agar orientasi itu sebagai kaedah satu cara baharu untuk memasukkan nilai-nilai liberalisme dan humanisme dalam diri umat Islam”.

Secara jelasnya fahaman liberalisme adalah pemikiran asing yang cuba masuk dalam aliran pemikiran Islam. Pemikiran ini menafikan wujudnya hubungan antara agama dengan kehidupan. Golongan ini menganggap agama sebagai rantai yang mengikat kebebasan hingga ia perlu dibuang. Pemikir dan perintis fahaman liberal menyusun teras fahaman di luar garisan agama sehingga berani menyatakan, ada hubungan dengan agama walaupun jauh menyimpang daripada ajaran agama sebenar. Amat menghairankan wujud golongan mempertahankan fahaman liberalisme dan sanggup menyatakan fahaman Islam liberal sedangkan ia bertentangan dengan Islam.

Sumber: Berita Harian, 05 Ogos 2017