Home MURTAD BENTENGI DIRI DARI AGENDA PEMURTADAN DENGAN BERPEGANG TEGUH KEPADA AJARAN ISLAM YANG...

BENTENGI DIRI DARI AGENDA PEMURTADAN DENGAN BERPEGANG TEGUH KEPADA AJARAN ISLAM YANG BENAR BERDASARKAN AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

1124
0

Masalah murtad bukanlah masalah ringan tetapi adalah masalah besar dan berat yang mesti dielakkan. Bagi menjauhinya, pendidikan Islam adalah perlu diterapkan daripada kecil lagi dan ibu bapa juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu fardhu ain yang merangkumi pengajaran tentang akidah, ibadah dan akhlak.

Sifat nasihat-menasihati adalah sifat yang sangat mulia kerana adalah berdosa jika kita membiarkan saudara-saudara Islam hanyut dibawa arus kemungkaran dan kemaksiatan. Sifat nasihat-menasihati bukanlah bermakna ingin mengganggu privasi seseorang individu atau hak kebebasan individu, tetapi itu adalah adat masyarakat sesama Islam untuk sentiasa mengingati antara satu sama lain. Namun, biarlah cara menasihati itu kena dengan adab dan penuh hikmah.

Percayalah jika Islam dijadikan cara hidup dan dinormalisasikan dalam masyarakat, maka akan wujudlah persekitaran dan kehidupan yang sempurna dan akan lahirlah sifat bertolak ansur, bermuafakat, berkasih-sayang dan sebagainya. Jika faktor itu dihayati dan dipraktikkan sepenuhnya dalam kehidupan sudah tentu ia akan menjamin kebahagiaan, kemanan dan keselamatan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Bahayanya gejala murtad ini memerlukan kita untuk mempertingkatkan kefahaman dalam agama agar dapat menjadi benteng dari terjerumus kepada perkara-perkara yang boleh menjejaskan akidah. Oleh itu, tiada jalan lain melainkan menjalani kehidupan berasaskan kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Dari Ibnu Abbas r.a ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam : Sesungguhnya aku telah meninggalkan pada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sama sekali sesat selama mana kamu berpegang kepada keduanya kitab Allah dan sunnah Nabi”.

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama, Brunei Darussalam