Home Kemanusiaan/Motivasi MENTAATI PEMIMPIN (ULIL AMRI) ADALAH WAJIB SELAGI IA TIDAK MEMERINTAH KEPADA KEMAKSIATAN...

MENTAATI PEMIMPIN (ULIL AMRI) ADALAH WAJIB SELAGI IA TIDAK MEMERINTAH KEPADA KEMAKSIATAN DAN TIDAK MENTAATINYA ADALAH SATU KEDERHAKAAN KEPADA ALLAH DAN RASULNYA

1557
0

Menjadi satu kewajipan sebagai umat Islam untuk mendengar dan taat kepada pemerintah selagi perintahnya tidak menjurus ke arah kemaksiatan. Rasulullah SAW bersabda:

“(Wajib) ke atas Muslim untuk mendengar dan mentaati pemerintah sama ada dalam perkara yang dia suka atau tidak, melainkan pemimpin itu memerintahkan kepada perkara maksiat. Sekiranya dia memerintahkan perkara maksiat, maka tidak perlu didengari dan ditaati.” (HR Muslim).

Dalam keadaan negara yang sedang bergelut dengan masalah Covid-19 sekarang ini, adalah menjadi kewajipan bagi kita sebagai rakyat untuk mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan selaku pentadbir negara. Namun, amat mendukacitakan apabila sebahagian besar daripada kita tidak mematuhi SOP yang telah dikeluarkan bahkan ada yang berani mencabarnya. Di manakah adab kita sebagai rakyat? Dan di manakah tanggung jawab kita sebagai seorang Islam, sedangkan Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan Ulil Amri (pemerintah) di antara kamu.” (QS An – Nisa’: 59).

Ayat di atas sudah jelas menyatakan akan kewajipan kita untuk mentaati arahan pemerintah selain daripada Allah SWT dan RasulNya. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

“Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu merupakan satu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat.” (HR Bukhari).

Malah Rasulullah SAW dengan jelas mengingatkan bahawa bagi mereka yang dengan sengaja tidak mahu patuh kepada arahan pemimpin sebenarnya telah menderhakai Allah SWT dan RasulNya. Rasulullah SAW bersabda:

“Siapa yang taat kepada ku, bermakna ia telah mentaati Allah SWT. Siapa yang derhaka kepada ku, bermakna ia telah menderhakai Allah SWT. Siapa yang taat kepada pemimpin, bermakna dia telah taat kepada ku. Dan siapa yang derhaka kepada pemimpin, bermakna dia telah derhaka kepada ku.” (HR Muslim).

Persoalannya di sini, adakah segala arahan yang dikeluarkan itu merupakan satu kemaksiatan? Mengapa ramai yang mempersoalkan malah dengan berani mencabar kedaulatan undang-undang tersebut? Sepatutnya kita semua harus sedar, dalam keadaan negara menghadapi dugaan Covid-19 ini, adalah wajar untuk semua masyarakat khususnya umat Islam mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin tidak kira dari segi SOP, PKP atau Fasa Pemulihan Negara. Ini adalah untuk kebaikan semua. Sesebuah negara akan hancur apabila ada ahli atau anggota yang gagal menzahirkan ketaatan kepada pemimpin dan negara.

Jadilah rakyat yang mempunyai sifat Muslim sejati dengan mematuhi arahan daripada kepimpinan Kerajaan. Ini juga merupakan sebahagian daripada tuntutan iman dan boleh menghindarkan diri kita daripada dijangkiti wabak yang merbahaya.

Sumber: Laman Web Isma