Tindakan ganas yang dilakukan oleh pelampau agama dan berfahaman radikal sedikit sebanyak telah mencalarkan imej agama Islam dan mula timbulnya sentimen islamofobia terutamana dalam kalangan masyarakat Barat.
Evolusi radikal Islam melalui tempoh yang panjang dengan desakan permasalahan umat semasa. Kepincangan ilmu, kejahilan dan perpecahan, tekanan dan kegelapan yang melanda umat Islam telah membawa kepada kelahiran beberapa gerakan yang bangkit memperjuangkan islah dan tajdid dengan pendekatan kekerasan dalam menyampaikan dakwah Islam.
Dua kelompok besar yang membawa ideologi radikal adalah fahaman salafi jihadi dan salafi takfiri. Mereka melaksanakan jihad qital dan memansuhkan semua ajaran jihad lain dalam Islam. Mereka juga mengkafirkan golongan yang tidak sealiran dengannya, menjadikan kumpulannya sangat ekstrem dan digeruni oleh masyarakat dunia termasuk Barat dan orang Islam sendiri.
Sebenarnya golongan seperti ini tidak dapat membezakan antara akidah dan ijtihad politik sehingga cenderung untuk menghalalkan darah orang yang dianggap kafir dan dihukum kafir.
Perkara ini turut dieksploitasi terutamanya oleh masyarakat Barat yang kemudiannya menyifatkan Islam sebagai agama terorisme dan pembunuh. Sentimen Islamofobia disebarkan sehingga umat Islam yang tidak bersalah mendapat tempias seperti didiskriminasi, ditindas dan diberi layanan buruk akibat tindakan kumpulan-kumpulan radikal tersebut.
Sumber: Berita Harian, 3 Ogos 2018.