Kepentingan menjaga akidah itu menjadi keutamaan dalam menghadapi anasir-anasir yang mengelirukan. Kadangkala sesuatu ajaran sesat itu tidak dikatakan sesat keseluruhannya kerana bercampur aduk dengan yang salah dan benar. Oleh itu, antara perkara asas yang perlu dijaga bagi membentengkan diri dari perkara-perkara yang memesongkan akidah itu adalah melalui pemantapan iman.
Iman adalah asas membentuk insan yang berkualiti. Kualiti iman akan mempengaruhi tindak tanduk manusia yang akan menghasilkan kesempurnaan seseorang yang benar-benar bersyahadah dengan keimanannya. Oleh kerana itulah al-Quran tidak memisahkan antara iman dan amal seseorang itu.
Melalui iman, tunggak kekuatan seseorang muslim akan menjadi teguh, berupaya melaksanakan perintah Allah, meninggalkan segala larangan dan mampu menghindari belenggu kejahilan dan penyelewengan. Melalui iman juga, manusia akan terselamat daripada sebarang ancaman sama ada ancaman dari luar mahupun runtunan hawa nafsu yang muncul dari dalam diri.
Pemantapan iman dalam diri membuatkan seseorang muslim itu tidak akan tunduk kepada ancaman-ancaman tersebut. Beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya akan memberi kepuasan dan kebersihan hati dan fikiran. Ia juga melahirkan sifat taqwa dan memandu seseorang muslim itu menjalani kehidupan dengan mengikut jalan yang lurus.
Justeru itu, kita yang sedang melalui akhir zaman yang penuh dengan segala pancaroba ini seharusnya tidak terus leka dibuai dengan ‘fatamorgana dunia’ sehingga lalai dan mudah terjerumus dengan kesesatan akidah. Sebaliknya, mantapkan iman, penuhi ilmu di dada agar dapat memandu kita mengenal mana jauhari mana manikam.
Sumber: Kertas Pembentangan Kursus Pemantapan Akidah, 2006 – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.