Jihad bukan sahaja semata-mata berperang, tetapi menuntut ilmu juga boleh dikategorikan sebagai jihad, jihad fisabilillah. Bahkan sebahagian ulama berkata bahwa jihad dengan ilmu ini lebih utama daripada dengan senjata. Kerana setiap permulaan jihad mesti didahului dengan ilmu. Hendak berjihad, kita mesti menuntut ilmu strategi agar jihad yang dijalankan tidak terpesong dari ajaran Islam.
Malah menurut seorang Sarjana Arab Saudi, Syaikh Muhammad bin Sholih Al ‘Utsaimin:
“Menuntut ilmu adalah bahagian dari jihad di jalan Allah kerana agama ini akan sentiasa terjaga dengan dua perkara iaitu dengan ilmu dan berperang (berjihad) dengan senjata. Kerana menjaga syari’at adalah dengan ilmu. Jihad dengan senjata pun harus berbekal ilmu. Seseorang tidak boleh berjihad, mengangkat senjata, mengatur strategi, membahagi ghonimah (harta rampasan perang), menawan tahanan melainkan harus dengan ilmu. Ilmu itulah dasar segalanya”. (Syarh Riyadhus Sholihin, 1: 108)
Ilmu pengetahuan bukan sahaja menjamin nilai tambah dalam diri seseorang. Bahkan ia mampu membentuk pemikiran yang sihat bagi setiap umat dalam membina masa depan cemerlang. Ilmu yang baik akan membentuk jati diri seseorang Muslim. Ilmu utama yang sepatutnya dipelajari oleh umat Islam adalah ilmu Al Qur’an dan As Sunnah.
Oleh itu, kita haruslah sedar bahawa ilmu itu adalah sumber segala yang kita ada sekarang. Ilmu yang menerangi kehidupan kita seharusnya menjadi petunjuk untuk memperolehi kehidupan yang bahagia. Ilmu dan kemahiran yang ada pada seseorang itu juga memberikan manfaat jika disebarkan kepada orang lain.
Sumber: karyabestari.com dan Facebook Media Dakwah