Isu berkaitan Islam liberal menjadi hangat diperkatakan kerana ia bukan hanya menyentuh sensitiviti umat Islam bahkan ia menggugat kesejahteraan masyarakat dan mendatangkan bahaya kepada akidah umat Islam.
Atas slogan kebebasan bersuara sebagaimana termaktub dalam Perkara 1, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, menyatakan “Semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan dan hak-hak. Mereka mempunya pemikiran dan perasaan hati dan hendaklah bertindak di antara satu sama lain dengan semangat persaudaraan”. Justeru mereka menyatakan hak-hak ini perlu diberikan kepada setiap individu atas kapasiti manusia berhak dan bebas memilih.
Dengan menekankan kebebasan memberi pendapat dan menentukan fikiran mereka sanggup menolak suara ulama, malah menyokong padu suara-suara orientalis Barat kerana dikatakan pendapat orientalis Barat lebih kritis dan lebih munasabah mengikut peredaran zaman. Sedangkan mereka bukanlah terdiri dari orang yang benar-benar memahami agama Islam dan tidak mendalami Islam sebaiknya, bahkan hanya pakar sebagai pengkritik yang jahil mengenai Islam.
Gerakan golongan ini yang semakin utuh dan mendapat tempat dalam segelintir umat Islam di Malaysia dengan ada sebaran media baru, perlu diatasi dari menular. Ilmu fardhu ain perlu diajar dengan betul dan mencukupi bagi menangani persoalan pemikiran semasa supaya orang Islam tidak mudah hilang makna diri. Ia bukan setakat persoalan akidah, ibadah, akhlak yang diajar secara sambil lewa kerana kita berhadapan dengan serangan pemikiran yang mampu meruntuhkan satu umat.
Seharusnya, hakikat kebebasan dan perjuangannya perlu diperjelaskan dengan terperinci. Kebebasan dalam Islam hadir bersama tanggungjawab yang tersendiri. Walaupun manusia diberikan kebebasan oleh Allah SWT bagi membuat pilihan contohnya dalam hal keimanan tetapi ruang kebebasan itu tidak pula melupuskan perjanjian yang telah dilakukan. Al-Quran juga memperingatkan manusia bahawa telah ada tanggungjawab yang sedia diletakkan di atas bahu semua manusia sejak alam rahim lagi seperti dalam surah al-A’raf, ayat 172 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab, “Benar, kami bersaksi.” Demikianlah supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak, “Sesungguhnya kami lalai tentang ini”.
Sumber: Kertas Seminar Antarabangsa Aqidah & Pemikiran Islam (IConAIT) 2016, KUIS