Gerakan Islam Liberal yang terinspirasi daripada ideologi liberalisme Barat diwujudkan atas asas untuk membebaskan umat Islam daripada belenggu kejumudan dan keterbelakangan yang diakibatkan oleh fahaman konservatisme dan fundamentalisme agama.
Islam Liberal terus memberikan penghargaan terhadap kepelbagaian pandangan, pembukaan pintu ijtihad, perjuangan hak asasi manusia serta mempertahankan kebebasan. Kesemua cita-cita yang digariskan ini sebenarnya bertepatan dengan ajaran Islam. Namun, ia dilakukan dengan cara menyanggah dan meruntuhkan tradisi keilmuan para ulama yang telah diwariskan semenjak zaman berzaman.
Pintu ijtihad dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja dan perkara-perkara yang telah disepakati oleh para ulama sejak zaman-berzaman cuba dirungkai atas nama ijtihad. Pemahaman golongan liberal terhadap konsep kebebasan dan hak asasi yang diperjuangkan pula nampaknya hanya menceduk daripada teori-teori Barat. Sementara Islam mengiktiraf hikmah dan mengambil manfaat produk yang baik daripada mana-mana tamadun, namun Islam mengajar agar kita menyaring terlebih dahulu pemikiran-pemikiran Barat dan memastikan ia benar-benar selari dengan pandangan Islam.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab bagi setiap muslim untuk berhati-hati daripada terjebak dengan pemikiran Islam Liberal ini lebih-lebih lagi apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan pemikiran Islam Liberal adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam, antaranya berdasarkan aspek-aspek berikut:
- Mempersoalkan metodologi pentafsiran al-Quran dan Hadis
- Kesilapan pada menempatkan peranan akal bukan pada tempatnya
- Menilai semula konsep hukum-hakam qath’ie dan zhanni yang telah disepakati para ulama.
Sumber: Al-Bayan, Siri 12- Datuk Dr. Hj. Zulkifli Mohamad Al-Bakri