Home Liberalisme ASAS PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL ADALAH BERDASARKAN FALSAFAH LIBERALISME DAN SEKULARISME BARAT YANG...

ASAS PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL ADALAH BERDASARKAN FALSAFAH LIBERALISME DAN SEKULARISME BARAT YANG TERPESONG DARI AJARAN ISLAM. KENAPA MASIH TERPENGARUH DENGAN ISLAM LIBERAL?

1705
0

Falsafah Islam Liberal adalah berdasarkan falsafah liberalisme dan sekularisme Barat yang bercanggah sama sekali dengan akidah dan syariat Islam. Fahaman liberal Barat ini menegaskan bahawa adalah menjadi kewajipan untuk menghormati kebebasan individu serta berkeyakinan bahawa adalah menjadi tugas utama pemerintah untuk menjaga, melindungi kebebasan rakyat sepenuhnya seperti kebebasan berfikir, kebebasan menyampaikan pendapat, kebebasan hak peribadi dan juga kebebasan individu.

Secara umumnya, pemahaman liberal ini mempunyai tiga asas utama iaitu; Pertama, kebebasan. Berdasarkan asas kebebasan ini bermaksud setiap individu bebas untuk melakukan apa sahaja perbuatan yang ingin dilakukan. Pihak pemerintah atau kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk membuat peraturan atau tegahan. Perbuatan yang dilakukan hanya mampu dibatasi atau disekat oleh undang-undang yang dibuat oleh individu itu dan tidak terikat dengan peraturan agama.

Kedua, individualisme. Aspek ini mengandungi dua pengertian iaitu sikap keakuan (ananiyah) dan cinta terhadap diri sendiri. Pemahaman ini menguasai pemikiran orang Eropah semenjak zaman reinassanse lagi. Cinta terhadap diri sendiri pula dimaksudkan dengan kemerdekaan diri dan ini adalah fahaman baru dalam anutan liberalisme yang dipanggil sebagai pragmatisme.

Ketiga, rasionalis (keutamaan menggunakan akal). Hal ini bermaksud penggunaan akal semata-mata dalam mencari dan mencapai sesuatu kepentingan dan manfaat tanpa memerlukan kekuatan yang lain termasuklah al-Quran dan as-Sunnah. Sebagai contoh, mereka beranggapan, pihak pemerintah berkewajipan melindungi rakyat kerana pada pandangan mereka, negara terbentuk untuk menjaga hak asasi setiap individu dan negara perlu terpisah dari agama dan pemikiran mazhab sedia ada.

Berdasarkan kepada fakta dan kefahaman mereka, jelas kumpulan liberal ini hanya sebahagian kumpulan fahaman sekularisme yang dibangunkan di atas sikap berpaling daripada syariat Allah SWT sebenar, kufur kepada ajaran dan petunjuk Allah SWT dan rasulNya serta menghalang manusia lain mengikut syariat Allah SWT yang sebenar.

Sumber: Berita Harian, 05 Ogos 2017