Home Kemanusiaan/Motivasi HINDARI SIKAP ‘KERAS KEPALA’ DAN SUKA MEMBANTAH KERANA IA TERMASUK SIKAP YANG...

HINDARI SIKAP ‘KERAS KEPALA’ DAN SUKA MEMBANTAH KERANA IA TERMASUK SIKAP YANG PALING DIBENCI OLEH ALLAH SWT

1166
0

Sebagai umat Islam, hidup kita di dunia ini adalah semata-mata untuk menggapai keredhaan Allah SWT agar kita mendapat tempat yang terbaik di negara akhirat. Walau bagaimanapun, lumrah kehidupan manusia apabila sering terlupa dan terleka dengan kenikmatan duniawi hinggakan mereka melakukan hal-hal yang dibenci oleh Allah SWT. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah benci kepada setiap orang yang sombong dan kasar, dan suka berteriak-teriak seperti di pasar. Diwaktu malam bagaikan bangkai, dan di waktu siang bagaikan keldai. Dia berilmu tentang dunia tapi bodoh tentang kehidupan akhirat.” (HR Al – Baihaqi).

Tahukah anda apakah sifat yang paling dibenci oleh Allah SWT? Antara sifat berikut adalah golongan manusia yang keras kepala dan suka membantah-bantah. Dari Aisyah RA, ia mengatakan; Rasulullah SAW bersabda:

“Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka membantah (suka bermusuh).” (HR Bukhari).

Sangat jelas keadaan tersebut pada hari ini apabila semakin ramai umat manusia khususnya umat Islam yang suka membantah-bantah atas sesetengah isu terutamanya isu yang berkaitan dengan vaksinasi Covid-19. Hal ini sangat jelas dan hangat diperkatakan pada masa sekarang lebih-lebih lagi di platform media sosial apabila ramai yang mempertikaikan keperluan untuk mengambil vaksinasi. Ada yang mengatakan vaksinasi ini adalah agenda kuasa-kuasa besar yang mahu menakluki manusia dan yang mahu membunuh umat manusia.

Satu tuduhan yang sangat berat, tetapi apabila diminta untuk tampilkan bukti atau kajian, jawapan standard diberikan “kaji sendiri, jangan malas”. Jika sudah berbicara seperti seorang pakar, mengapa tidak ditunjukkan sahaja buktinya? Mengapa perlu diperdebatkan dan adanya bantahan? Anda mengaku sebagai seorang Islam yang mementingkan kemaslahatan umat Islam, tetapi dalam hal sebegitu anda membantah dan keras kepala? Tahukah perbuatan itu termasuk dalam salah satu sifat kesombongan? Dari Abdullah RA, Nabi SAW bersabda:

“Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan.” (HR Muslim).

Orang yang suka membantah adalah mereka yang suka bertengkar dan suka menegakkan pendapatnya sendiri walaupun salah. Ia akan menjadikannya seorang yang angkuh dan sombong. Baginya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah. Dia sukar untuk berbincang dengan cara baik kerana dia menganggap pendapat orang lain rendah dan pendapatnya sahaja yang baik dan perlu diutamakan. Akhirnya mewujudkan ketidak sefahaman dan permusuhan. Marilah kita menjauhi sifat keras kepala dan suka membantah. Bukalah minda kita untuk menerima teguran dan nasihat. Allah memberikan kepada kita akal untuk berfikir. Jika ada pandangan dan fakta yang lebih baik maka terimalah dengan berlapang dada. Jangan sekali-kali berkeras dan sombong dengan apa yang kita milik.

Sumber: Koleksi Hadis Jimaain bin Safar (https://people.utm.my/ajmain/2019/12/20/manusia-yang-dibenci-allah/)