Dunia permodenan tidak membataskan masyarakat untuk terus menimbulkan kekeliruan terhadap kebenaran syariat Islam dengan membawa dan memperkenalkan kepada masyarakat ajaran-ajaran yang menyeleweng dari akidah Islam. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya beberapa perubahan negatif terhadap kepercayaan, sikap dan amalan pengikut-pengikut ajaran terbabit.
Kebanyakan ajaran sesat di Malaysia telah bergerak secara serampang dua mata iaitu bercampur aduk antara amalan tasawuf sufi atau wujudiah, batiniah dan kebatinan jiwa. Ianya juga melibatkan amalan perbomohan yang menggunakan ‘helah agama’ untuk kepentingan diri pengamalnya.
Meskipun implikasi daripada penglibatan diri dengan ajaran sesat adalah besar dari segi akidah, namun ramai dalam kalangan umat Islam tetap melibatkan diri dengan gejala ini. Ini kerana golongan pengamal ajaran sesat kerap menggunakan taktik sebagai ‘umpan’ untuk mendapatkan pengaruh dalam kalangan masyarakat.
Antaranya ialah jaminan sesuatu ajaran tersebut boleh mendatangkan manfaat duniawi dan ukhrawi, manfaat kesenangan akhirat dikaitkan dengan balasan syurga, manfaat duniawi memudahkan kematian, dimomokkan dengan janji-janji perjalanan akhirat yang baik dan diugut hidup tidak senang dan selalu ditimpa musibah jika mengingkari perintahnya. Sikap ‘tok guru’ yang mengasah pemikiran pengikutnya supaya taat dan mengagungkannya juga menyebabkan mereka terperangkap dengan gejala ini dan sukar meninggalkan ajaran sesat.
Sepertimana yang kita lihat dalam ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang diketuai oleh seorang wanita bernama Sittah An-Nur berjaya untuk menarik sokongan ramai masyarakat Islam di seluruh dunia untuk mempercayai mimpi-mimpi karutnya. Golongan tersebut termasuklah mereka yang dipercayai sebagai anti-vaksin seperti seorang pengguna FB yang bernama Kabul turut mempercayai semua perkara-perkara yang dimimpikan oleh wanita tersebut kerana dikatakan semua mimpinya benar seperti peristiwa pandemik yang sedang melanda dunia.
Walaupun terdapat usaha menyekat ajaran-ajaran sesat ini dijalankan secara tegas dan bersepadu, namun pada umumnya ajaran ini terus ada pengikut dan penyokongnya. Oleh sebab itu, pihak berwajib mempunyai autoriti untuk membuat penahanan terhadap mana-mana individu yang dipercayai menghasut orang Islam sehingga boleh menjejaskan akidah dan keharmonian negara. Justeru itu, umat Islam diharapkan bersama-sama dengan pihak berkuasa berganding bahu untuk membanteras apa jua bentuk ajaran sesat atau kumpulan yang menyelewengkan akidah umat Islam. Pengetahuan ilmu agama (terutama berhubung bab akidah) yang mantap dan jati diri yang teguh dapat mengelakkan individu daripada terjebak dan terpengaruh dengan ajaran sesat ini.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor