Home Kemanusiaan/Motivasi ISLAM MELARANG UMATNYA MENCERCA AGAMA LAIN KERANA ISLAM ADALAH AGAMA PERPADUAN DAN...

ISLAM MELARANG UMATNYA MENCERCA AGAMA LAIN KERANA ISLAM ADALAH AGAMA PERPADUAN DAN KASIH SAYANG

1162
0

Di negara ini, kita mengamalkan hidup secara majmuk, ada bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain. Begitu juga dengan amalan keagamaan dan kebudayaan. Setiap agama mempunyai perayaan mereka tersendiri dan adat yang diamalkan di dalam agama mereka. Akan tetapi, agama Islam menjadi Agama Rasmi Persekutuan manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Walaupun agama Islam menjadi Agama Rasmi Persekutuan, tetapi itu tidak bermakna kita boleh memperolok-olokkan agama, budaya dan bangsa orang bukan Islam. Firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda Yang mereka sembah Yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (QS al – An’am: 108).

Ya, pasti ramai yang tidak akan bersetuju dengan artikel ini kerana selama ini agama Islam yang diinjak-injak dan diperolok-olokkan oleh orang bukan Islam secara melampau. Tujuan sebenar artikel adalah untuk mendidik umat Islam untuk tidak jadi seperti mereka. Menjadi seperti mereka, bagaimana pula? Belum pernah lagi terjumpa umat Islam menghina agama lain. Ya benar, memang tidak ada umat Islam yang menghina agama, budaya dan agama orang bukan Islam kerana agama kita tidak mengajarkan perilaku seperti itu.

Apa yang artikel ini hendak tekankan adalah jangan berperilaku seperti mereka yang menghina agama kita. Cuba lihat di laman-laman sosial setiap kali ‘posting’ menghina agama Islam, budaya dan bangsa masyarakat yang terkait dengan agama Islam, ramai di kalangan kita membalasnya dengan kata-kata kejian, caci maki dan menghina. Inikah akhlak sebagai seorang Muslim? Memang tidak dinafikan kita akan merasa marah dan sakit hati dengan perilaku tersebut. tetapi jika cercaan dibalas dengan cacian, apa bezanya antara kita dengan mereka? Mereka sudah terang-terangan tiada arah dan panduan tidak seperti kita yang mempunyai rujukan al – Quran dan as – Sunnah.

Jadi, apakah kewajaran kita untuk berperilaku seperti mereka? Negara ini mempunyai undang-undang, Jika ada kesalahan, adukanlah kepada pihak berwajib. Jangan pula kita berperangai seperti mereka, kelak kita pula akan dilaporkan ke pihak berkuasa atas kesalahan menggugat ketenteraman awam. Jadilah pembela agama yang sebenar dengan tidak mencerca agama, budaya dan bangsa bukan Islam kerana umat Islam adalah umat yang terbaik. Firman Allah SWT:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma´ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (QS Ali ‘Imran: 110).

Sumber: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan (muftins)