Home Kemanusiaan/Motivasi JANGAN BERMUSUH SESAMA MUSLIM KERANA ALLAH SWT AMAT MEMBENCI ORANG YANG MEMULAKAN...

JANGAN BERMUSUH SESAMA MUSLIM KERANA ALLAH SWT AMAT MEMBENCI ORANG YANG MEMULAKAN PERMUSUHAN

1269
0

Islam sangat melarang umatnya bermusuhan di antara sesama Muslim. Hal ini kerana di dalam Islam telah diajarkan bahawa setiap Muslim itu bersaudara, bahu bertemu bahu dan saling memerlukan di antara satu sama lain. Jadi, mengapa harus bermusuhan hanya kerana hal yang mudah?

Daripada Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

“Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang paling kuat bermusuhan. (HR Muslim).

Islam mengajar kita supaya mengelakkan diri daripada saling membenci, berhasad dengki dan saling membelakangi antara satu sama lain kerana semua perbuatan tersebut akan membawa kepada pintu kejahatan yang amat banyak sekali sehingga boleh menimbulkan permusuhan dan pergaduhan di dalam sesebuah masyarakat. Memang tidak dapat dinafikan, perselisihan faham dan keterlanjuran kata itu selalunya sukar untuk dielakkan dan kadangkala berlaku juga.

Oleh sebab itu, Islam mengajar kita agar berusaha memperbaiki hubungan yang telah tercalar tersebut dalam tempoh tiga hari kerana membenci dan bermasam muka itu adalah perbuatan yang dilarang serta tidak diredhai Allah SWT dan RasulNya. Orang yang paling Allah SWT benci ialah mereka yang paling kuat bermusuhan. Jadi, apa yang perlu kita lakukan? Carilah jalan damai di antara satu sama lain. Janganlah sampai tidak bertegur sapa melebihi tiga hari. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak halal bagi seorang Muslim mendiamkan saudaranya melebihi tiga malam.” (HR Bukhari).

Dalam hadis lain, sabda Rasulullah SAW:

“Pintu-pintu syurga dibuka setiap hari Isnin dan Khamis. Lalu diampuni dosa seluruh hamba yang tidak berbuat syirik (menyekutukan) kepada Allah dengan sesuatu apapun. Kecuali orang yang sedang ada permusuhan dengan saudaranya. Dikatakan: Tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai…” (HR Imam Malik).

Justeru, marilah kita menjadi orang yang segera menamatkan permusuhan sesama Muslim jika ada, agar amal kita diterima dan mendapat pengampunan serta rahmat Allah SWT.

Sumber: Koleksi Hadis Jimaain bin Safar, people@utm