Home Ateis HUJAH KEWUJUDAN TUHAN KEPADA GOLONGAN ATEIS MENGIKUT RASIONAL AKAL

HUJAH KEWUJUDAN TUHAN KEPADA GOLONGAN ATEIS MENGIKUT RASIONAL AKAL

329
0

Penganut ateis sememangnya diketahui sebagai anti-teisme iaitu mempercayai bahawa teisme (kepercayaan kepada Tuhan) dan agama secara umumnya perlu ditentang dan dihapuskan sepenuhnya kerana tidak dapat diadili secara intelektual dan berbahaya kepada manusia. Mereka lebih mempercayai sains yang bagi mereka dapat membuktikan segalanya, walaupun mereka sedar bahawa hasil kajian sering berubah-berubah.

Berikut adalah hujah kewujudan Tuhan yang boleh difahami secara logik akal. Bayangkan Ahmad berada di sebuah bilik kosong yang terkunci rapat dan tidak ada langsung ruang udara keluar masuk. Setelah puas memikir jalan untuk keluar, Ahmad tertidur. Setelah terjaga dari tidur, terdapat sebuah meja dihadapannya dan di atasnya tertulis “meja ini ada dengan sendirinya, daripada tiada kepada ada”. Adakah Ahmad akan mempercayai nota tersebut? Secara rasionalnya semestinya tidak dan mustahil ada dengan sendirinya. Oleh kerana bahagian kognitif (pemikiran) Ahmad adalah normal, maka sudah tentu Ahmad memikirkan kemungkinan bahawa pasti ada yang meletakkannya dan kemungkinan itulah yang paling rasional.

Begitu jugalah al-Quran sebagai kitab suci yang tidak ada keraguan padanya, sentiasa membawakan hujah-hujah yang bersifat rasional dan intelektual. Maka, pada hakikatnya akal dan wahyu adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Al-Quran memberikan formula yang sangat ampuh dalam membuktikan kewujudan Tuhan sepertimana dalam Surah a-Thur, ayat 35 dan 36 yang menjelaskan berkenaan satu panduan asas dalil secara logik bahawa Tuhan itu sememangnya wujud. Dalam konteks yang lebih mudah difahami, ayat-ayat tersebut menyebut bahawa:
i. Alam jagat ini terbatas/terhad
ii. Perkara yang terbatas boleh jadi datang daripada ‘tiada’, diciptakan olehNya sendiri, sepenuhnya diciptakan oleh sesuatu yang diciptakan atau diciptakan oleh sesuatu yang tidak diciptakan
iii. Ianya mustahil datang daripada ‘tiada’, oleh itu ianya diciptakan oleh sesuatu yang tidak diciptakan.

Justeru itu secara logiknya jika difikirkan dari fungsi kognitif yang normal, tidak mustahil dunia ini diciptakan oleh sesuatu yang tidak diciptakan iaitu Allah SWT yang Maha Berkuasa atas segalanya. Inilah bukti secara logik akal yang boleh diberikan sebagai menjawab kepada sebahagian persoalan golongan ateis terhadap kewujudan Tuhan. Hidup dalam penafian bagaimana lagikah golongan ateis inginkan?

Sumber: Bayan Linnas – Siri ke107 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan