Home Kemanusiaan/Motivasi JAUHI SIFAT RIAK DAN UJUB KERANA SETIAP AMALAN YANG DISERTAI RIAK DAN...

JAUHI SIFAT RIAK DAN UJUB KERANA SETIAP AMALAN YANG DISERTAI RIAK DAN UJUB TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH SWT

2209
0

Sifat riak dan ujub merupakan sifat mazmumah (tercela) dan antara perbuatan yang termasuk dalam syirik kecil. Sikap riak adalah sikap yang suka menunjuk-nunjuk atau suka dipuji bagi setiap amalan yang dilakukan. Sementara sikap ujub ialah sikap merasa diri lebih baik atau lebih hebat (merasa hairan dengan kelebihan diri sendiri). Dua sikap ini adalah saling berkait kerana dalam diri individu jika ia memang suka menunjuk-nunjuk dan merasa megah apabila dipuji, maka terbitlah sikap ujub seperti sering membanggakan diri sendiri, bercakap besar dan memperkecilkan orang lain.

Sikap ini sangat ditegah dalam Islam kerana syarat utama untuk diterima sesuatu ibadah adalah melakukan secara ikhlas tanpa disertai sikap riak, ujub, takbur dan lain-lain sifat yang mensyirikkan Allah SWT (syirik kecil). Allah tidak menerima ibadah seseorang jika sesuatu ibadah dilakukan atas niat lain seperti ingin dipuji, bermegah-megah, merasa bangga diri, sombong dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Ikhlas adalah kunci utama dalam beribadah. Rasulullah SAW bersabda:

“Jika engkau melakukan amal (ibadah), lakukanlah semata-mata kerana Allah dengan ikhlas, kerana tidak diterima amal ibadah dari hambaNya, kecuali dilakukan dengan ikhlas.” (HR Bukhari).

Sifat-sifat sebegini memang tidak pernah lari jauh dari budaya normalisasi masyarakat kita yang sentiasa memandang manusia lain dengan sedikit kekurangan lalu membeza-bezakan dengan diri mereka yang boleh dianggap sedikit baik dengan rezeki lebih yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Memang tidak dapat dinafikan pandemik Covid-19 ketika ini mengakibatkan ramai yang terkesan. Ada yang terjejas pendapatan, kehilangan pekerjaan, perniagaan bangkrup hingga menyebabkan mereka yang dahulunya hidup senang kini terpaksa ‘mengikat perut’ dan melakukan apa sahaja pekerjaan demi sesuap nasi untuk keluarga di rumah. Namun, ada juga di kalangan kita yang masih lagi bertahan dan dikurniakan Allah SWT rezeki yang lebih. Akan tetapi, itu bukanlah lesen untuk riak dan ujub kepada mereka yang kekurangan. Allah SWT berfirman:

“Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.” (QS al – Najm: 32).

Seharusnya dengan kelebihan dan rezeki yang kita perolehi, kita digalakkan untuk sentiasa berkongsi dengan golongan yang berkemampuan. Bukannya dengan lebihan rezeki itu kita gunakan untuk merendah-rendahkan mereka. Ingat, rezeki yang Allah SWT kurniakan itu boleh ditarik pada bila-bila masa dan jangan terkejut bahawa ianya kifarah buat kita kerana selalu bersikap riak dan ujub. Dengan lebihan rezeki itu, kita seharusnya membahagi-bahagikan kepada mereka yang memerlukan dan meminta supaya mendoakan agar urusan kita dipermudahkan agar boleh berbahagi rezeki secara berterusan.

Tidak ada gunanya jika kita selalu riak dan ujub dengan rezeki yang kita perolehi kerana itu semua adalah pemberian Allah SWT. Jangan jadikan diri kita sebahagian daripada golongan yang muflis di akhirat akibat perilaku diri kita sendiri. Kita merasa sudah banyak amal yang kita lakukan tetapi di akhirat nanti, baru kita menyesal dan terkejut kerana amal yang kita rasa banyak dilakukan di dunia dahulu, sebenarnya tidak ada nilai dan tidak diterima oleh Allah SWT. Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada sifat ujub serta menjadikan kita daripada golongan yang ikhlas dalam melaksanakan ibadah. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah SWT sangat mencintai hamba-Nya yang bertakwa, berbesar hati iaitu orang kaya dan suka bersedekah dan suka merahsiakan ibadahnya (tidak riak).” (HR Muslim).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan