Home Kemanusiaan/Motivasi PERBANYAKKAN SEDEKAH KERANA IA AMALAN MULIA YANG DIBERKATI ALLAH DAN AKAN MENDAPAT...

PERBANYAKKAN SEDEKAH KERANA IA AMALAN MULIA YANG DIBERKATI ALLAH DAN AKAN MENDAPAT GANJARAN YANG BESAR DI DUNIA SERTA DI AKHIRAT

1133
0

Dalam kehidupan kita ini, segala rezeki yang Allah SWT berikan kepada kita bukanlah bermakna ia milik kita seorang sahaja. Ada bahagian-bahagian yang telah diperuntukkan oleh Allah SWT untuk kita infaqkan sedikit kepada golongan yang memerlukan. Sudah pasti ramai yang mengetahui keajaiban dalam bersedekah. Tahukah kita bahawa sedekah juga dapat ‘merawat’ diri dari menjadi seseorang yang mementingkan diri sendiri? Firman Allah SWT:

“Siapakah orang yang mahu memberikan penjamin kepada Allah sebagai penjamin yang baik dengan membelanjakan harta pada jalan Allah secara ikhlas, supaya Allah akan melipatgandakan baginya ganjaran yang berganda-ganda banyaknya?” (QS al – Baqarah: 345).

Melalui amalan bersedekah dapat melatih jiwa seseorang itu untuk menjadi orang yang belas kasihan, bersifat kasih sayang, jauh dari bersifat pentingkan diri sendiri dan sebagainya. Bersedekah juga adalah salah satu cara membelanjakan harta pada jalan Allah. Ini kerana tujuan seseorang bersedekah itu adalah atas dasar untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Bersedekah sama ada dengan wang ringgit atau lainnya merupakan amalan mulia yang memberi keuntungan kepada orang yang mengeluarkannya dan orang yang menerimanya. Orang yang bersedekah mendapat balasan pahala, sementara bagi orang yang menerimanya pula dapat menggunakan sedekah tersebut bagi memenuhi keperluan hidupnya. Pada hakikatnya, harta yang disedekahkan bukannya berkurang, malah Allah SWT akan menambah atau menggantikan ia dengan sesuatu yang lebih berharga dari nilai sebenar sedekahnya itu.

Allah SWT berfirman:

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (QS al – Baqarah: 261).

Bersedekahlah, sesungguhnya sedekah itu tidak akan sesekali menyebabkan harta seseorang itu semakin berkurangan, namun ia dapat memperkayakan hati, membersihkan harta, memanjangkan usia serta melancarkan rezeki yang dikurniakan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan dikurangi harta dengan sebab sedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambah dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkat darjatnya”. (HR Muslim).

Justeru, setiap apa yang diperintahkan Allah itu pasti ada manfaatnya. Bila Allah menyuruh hamba-Nya melakukan sesuatu sama ada dalam bentuk wajib atau sunat, walaupun pada awalnya dilihat begitu sukar, jika dilakukan pasti ada kemanisan pada akhirnya. Dari Abu Said Al – khudri R.A berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Siapa saja yang memberi pakaian Muslim lainnya yang tidak memiliki pakaian, nescaya Allah akan memberinya pakaian dari hijaunya syurga. Siapa saja Muslim yang memberi makan Muslim lainnya yang kelaparan, nescaya Allah akan memberinya makanan dari buah-buahan syurga. Dan siapa saja Muslim yang memberi minuman Muslim lainnya yang kehausan, nescaya Allah akan memberinya minuman dari minuman suci yang tertutup.” (HR Abu Daud).

Sumber: Pelita Brunei, Jabatan Penerangan Negara Brunei Darussalam (pelitabrunei.gov.bn)