Dengan kehadiran Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong serta kerabat diraja dalam program jelajah Kembara Kenali Borneo beserta kemeriahan sambutan Hari Malaysia 2023 di Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak sudah jelas menggambarkan bagaimana makmurnya bumi Malaysia ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa tetapi bersatu – padu sebagai rakyat Malaysia. Saling tolong – menolong dan berganding bahu tanpa mengenali di antara satu sama lain, itulah keunikan kita sebagai rakyat Malaysia.
Di mana sahaja ada sambutan atau perayaan, kita dapat menyaksikan suasana penuh harmoni kehidupan bermasyarakat yang menerima baik perbezaan kaum dan agama bermula dari sebuah keluarga. Bahkan, di salah satu kawasan pedalaman di Sarawak yang didiami oleh masyarakat Bidayuh menganut agama Islam dan Kristian namun menjalani kehidupan dengan budaya hormat antara satu sama lain sehingga mampu bekerjasama membangunkan sebuah perkampungan. Masyarakat Malaysia hakikatnya menjunjung tinggi nilai agama dan kepercayaan pada masa yang sama meraikan kepelbagaian sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan dan prinsip Rukun Negara.
Ajaran Islam tidak melarang kaum Muslimin untuk berbuat baik terhadap kaum bukan Islam yang tidak memusuhi umat Islam. Perkara tersebut berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran surah Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Ketahuilah, kepelbagaian bangsa, budaya dan agama dinyatakan sebagai sunnatullah sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Kita perlu merasa bersyukur dengan kemakmuran dan kemajmukan pelbagai kaum di negara pada hari ini kerana ianya menandakan kita sebagai sebuah negara yang unik tetapi penuh dengan sifat saling mengambil peduli. Sama seperti kepelbagaian bangsa, budaya dan agama yang tercatat dalam tradisi sejarah Islam misalnya demografi masyarakat Madinah yang didiami oleh bangsa daripada pelbagai benua, budaya dan warna kulit. Komposisi agama dan kaum di Madinah pada zaman Rasulullah SAW terdiri daripada pelbagai agama dan pegangan seperti Yahudi, animisme atau pagan, Nasrani dan Islam. Walau bagaimanapun perbezaan tersebut tidak menjadi penghalang kepada bangsa Madinah untuk menjalani kehidupan dengan aman dan damai serta saling bertoleransi.
Hayatilah kemakmuran dan kemajmukan kaum di negara ini sebagai tanda nikmat Allah SWT di bumi Malaysia.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)