Home Kemanusiaan/Motivasi BERSATULAH DAN JANGAN BERPECAH DEMI MEMBINA KEKUATAN UKHUWAH DAN MEMBENTENGI KEIMANAN DARI...

BERSATULAH DAN JANGAN BERPECAH DEMI MEMBINA KEKUATAN UKHUWAH DAN MEMBENTENGI KEIMANAN DARI SERANGAN MUSUH ISLAM

263
0

Islam adalah agama kedamaian dan penyatuan, dan kerana itulah ia menjadi buah iri hati kepada musuh-musuh agama. Namun, keadaan hari ini seakan mula berubah apabila ada sebahagian kelompok sesama Islam sudah mula hidup secara berpuak-puak kerana perbezaan pendapat. Bukankah di dalam agama Islam meraikan perbezaan pendapat? Inilah antara faktor mengapa musuh-musuh Islam sangat menyukai perpecahan di dalam Islam, kerana perbezaan pendapat yang membawa kepada perpecahan.

Firman Allah SWT:

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai…” (QS Ali Imran: 103).

Rasulullah SAW juga memberi amaran kepada umat Islam supaya tidak berpecah belah kerana berpecah belah akan membinasakan kesatuan umat Islam yang menyebabkan lebih mudah musuh-musuh umat Islam menyerang untuk merosakkan umat Islam dalam semua perkara. Bahkan Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa kebinasaan dan kelemahan umat Islam terdahulu adalah disebabkan mereka berpecah belah seperti sabda Rasululllah SAW:

“Jangan kamu berselisih faham kerana orang yang terdahulu telah binasa disebabkan berselisih faham.” (HR Ahmad).

Wahai para umat Islam sekelian, marilah kita bersatu-padu merapatkan lagi ukhuwah sesama kita. Ini penting dalam memelihara keimanan kita daripada terus rapuh dan akhirnya kita mudah dimanipulasi oleh golongan musuh Islam yang sentiasa mahu melihat umah Islam hancur. Bersatu kerana akidah dan untuk menegakkan kehendak Allah SWT di atas muka bumi ini adalah satu tuntutan yang tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi dijadikan bahan senda gurau.

Ambillah iktibar daripada teladan Rasulullah SAW dan para sahabat dalam mempersatukan kaum Aus dan Khazraj dan melupakan kisah lama mereka demi menyahut seruan perpaduan. Perpaduan yang diusahakan atas tujuan yang benar adalah penyebab kepada terselamatnya pihak yang bersengketa daripada jurang api neraka. Janganlah kita termakan pujuk-rayu musuh-musuh Islam apabila mereka berkata-kata kerana setiap ayat yang dikeluarkan mereka merupakan ‘pisau belati’ yang akan memutuskan tali persaudaraan dan perpaduan sesama Islam.

Perpaduan adalah perkara pokok bagi membolehkan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat dan negara terjamin. Sebab itulah Allah SWT mengajak manusia bersatu padu dan amat melarang kepada perpecahan. Perpecahan manusia akan mencetuskan suasana tidak aman dan masyarakat yang huru-hara membantutkan pembangunan bangsa dan negara. Rasulullah SAW bersabda:

“Orang mukmin terhadap orang mukmin yang lainnya, tidak ubah bagaikan sebuah bangunan yang bahagian-bahagian menguatkan satu sama lain.” (HR Muslim).

Marilah kita sama-sama meningkatkan, menjaga dan memelihara tali persaudaraan kita, jangan sampai putus dan musnah. Binalah dengan asas keimanan dan kekuatan. Berdoalah kepada Allah SWT semoga tali persaudaraan kita tetap kukuh untuk selama-lamanya. Mudah-mudahan dengan demikian kita dapat membina keamanan dan kebahagiaan dalam kehidupan kita serta meningkatkan lagi keimanan kita dalam agama Islam.

Sumber: Berita Harian (4 Oktober 2019)