Home Liberalisme PROSES GLOBALISASI MENJADIKAN DUNIA TANPA SEMPADAN TELAH DIGUNAKAN SEPENUHNYA OLEH GOLONGAN LIBERAL...

PROSES GLOBALISASI MENJADIKAN DUNIA TANPA SEMPADAN TELAH DIGUNAKAN SEPENUHNYA OLEH GOLONGAN LIBERAL UNTUK MERACUNI PEMIKIRAN UMAT ISLAM – BERHATI-HATILAH!!!

606
0

Pada hari ini, kita lihat arus pemodenan berkembang dengan begitu pesat. Melalui perkembangan teknologi maklumat, idea dan bentuk pemikiran baru telah disebarkan oleh golongan liberal ke seluruh masyarakat dunia dengan mempromosikan idea-idea kebebasan berfikir sehingga membentuk satu pemikiran baru di dunia global. Pemikiran ini, walaupun secara luarannya nampak seolah-olah tidak bertentangan dengan Islam kerana mempromosikan dan memperjuangkan hak kebebasan individu yang dikatakan sesuai dengan fitrah manusia, namun jika ditinjau dari segi syariat Islam, ideologi kebebasan yang diwar-warkan tersebut sebenarnya dipengaruhi dengan ideologi liberal Barat yang memang bertentangan dengan syariat Islam yang sebenar.

Ideologi liberalisme bersama idea humanisme (kemanusiaan) tersebar dalam pelbagai bentuk dan cara. Ideologi atau gerakan pemikiran liberal yang disebarkan melalui pelbagai medium media sosial hanyalah ideologi atau gagasan pemikiran kebebasan Barat yang berpaksikan nilai kemanusiaan semata-mata tetapi tidak dimasukkan elemen teras dalam Islam (akidah) dan batasan syariat Islam. Apabila ideologi dan gagasan pemikiran liberal ini tersebar luas ke seluruh dunia dalam keadaan dunia tanpa sempadan sekarang ini, ia berjaya mempengaruhi masyarakat dunia termasuk umat Islam sendiri sehingga membuka jalan ke arah pemikiran menolak konsep akidah dan ketuhanan.

Bagi golongan liberal, negara, kerajaan dan ritual agama adalah penghalang kebebasan dan keperluannya hanya timbul setelah berlaku pertembungan dalam kehendak-kehendak kebebasan tersebut. Selebihnya, bagi mereka tunjang kehidupan adalah berpaksikan kebebasan individu untuk membuat pilihan dan menentukan kehidupannya tanpa sekatan agama dan batasan perundangan negara.

Promosi pemikiran humanisme (kemanusiaan) yang dipegang oleh golongan liberal ini disebar dan dipromosi secara globalisasi dengan lebih cepat kerana wujudnya teknologi komunikasi dan maklumat. Melalui keadaan dunia yang tanpa sempadan dan kuasa-kuasa kerajaan yang semakin mengecil akibat proses globalisasi sekarang ini, ia memberi peluang yang lebih besar kepada golongan liberal di seluruh dunia untuk mempromosi dan menyebarkan ideologi kebebasan dan hak kebebasan individu tanpa sekatan agama dan peraturan atau undang-undang negara.

Dalam masa yang sama, kemajuan pembangunan di Barat telah mengambil alih kebangkitan kebendaan dan kemodenan sebagai tamadun mereka. Namun, Barat yang sebenarnya telah kehilangan roh agama, hanya mengisi roh tamadun mereka dengan menjadikan harta dan kebendaan sebagai perkara terpenting dalam kehidupan. Nilai agama jauh terasing daripada pembangunan yang mereka usahakan.

Fenomena pemikiran liberal dan roh tamadun Barat yang menyisihkan agama dalam kehidupan juga telah mula mempengaruhi masyarakat di Malaysia termasuk umat Islam sendiri. Mereka mahu meniru budaya Barat yang kononnya, bebas, boleh melakukan apa sahaja, maju dan sebagainya sedangkan roh atau jiwa dalam diri kosong kerana tidak diisi dengan keperluan rohani berdasarkan ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang ternyata memberikan kehidupan yang tenang dan mendamaikan jiwa.

Sekiranya anda sangsi dengan kedamaian yang dijanjikan oleh Islam, sila cuba dan dalami dahulu, amalkan kehidupan islamik seperti anjuran al-Quran dan as-Sunnah serta nikmati sendiri kenikmatan yang disebutkan, adakah anda berani?

Sumber: Kertas Seminar Antarabangsa Aqidah & Pemikiran Islam (IConAIT), KUIS, 2016.