Home Kemanusiaan/Motivasi BERSEGERALAH MELAKUKAN TAUBAT KERANA ALLAH SWT MENYUKAI HAMBA-HAMBANYA YANG BANYAK BERTAUBAT

BERSEGERALAH MELAKUKAN TAUBAT KERANA ALLAH SWT MENYUKAI HAMBA-HAMBANYA YANG BANYAK BERTAUBAT

1344
0

Setiap hari manusia melakukan kesilapan, jika mungkin dosa besar itu dapat dihindari dosa kecil sentiasa berlaku sama ada secara sedar atau tidak. Hal ini terjadi kerana sifat manusia itu sendiri yang tidak sunyi dari kesilapan. Sabda Rasulullah SAW:

“Setiap anak Adam pasti sering melakukan dosa dan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang rajin bertaubat.” (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Dalam Islam, apabila kita melakukan sesuatu kesalahan atau dosa maka wajiblah untuk kita bertaubat kepada Allah SWT. Dalam meraih keampunanNya, hendaklah kita melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan menyesali perbuatan kita. Tahukah bahawa taubat adalah sebahagian daripada sifat-sifat mahmudah? Firman Allah SWT:

“Dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya ia Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (QS al – Muzammil: 20).

Mengapa kita perlu memilih jalan untuk bertaubat? Ini disebabkan taubat adalah jalan mendapat kecintaan Allah SWT seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

“…Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang banyak bertaubat dan menyukai orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.” (QS al-Baqarah:222)

Taubat juga adalah jalan ke syurga. Adakah sesiapa di antara kita yang dengan rela hati untuk masuk neraka? Sudah pastinya tidak ada. Bahkan Rasulullah SAW sendiri berkali-kali menyeru umat Baginda supaya bersegera dan tidak menangguhkan taubat. Ini kerana, sekiranya bertangguh dalam bertaubat, kegelisahan hati itu akan semakin hilang hari demi hari. Bahkan sesungguhnya Rasulullah SAW juga turut memohon keampunan kepada Allah SWT. Walau baginda tiada dosa dan bersifat maksum, baginda tetap tidak kering dengan kalimah taubat. Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Demi Allah, sesungguhnya aku memohon ampun dan bertaubat kepada Allah lebih daripada 70 kali dalam sehari.” (HR al-Bukhari).

Adakah kita pernah terfikir bagaimana sekiranya kita meninggal sebelum sempat bertaubat? Apa yang pasti kita akan dibangkitkan pada hari akhirat kelak dengan dosa yang dilakukan di dunia dan Allah SWT menjanjikan azabNya kecuali dengan rahmatNya. Justeru, setiap manusia dianjurkan untuk sentiasa bertaubat. Dalam tuntutan bertaubat ini, seseorang itu diperlukan untuk berasa berdosa di atas apa yang dilakukan.

Dalam apa jua keadaan, kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya diampunkan segala dosa-dosa kita kerana sudah lumrahnya kita akan melakukan kesilapan sama ada kita sedar ataupun tidak. Allah SWT itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang, Allah SWT tidak akan sesekali menzalimi hambaNya yang selalu berdoa kepadaNya dan bertaubat dalam keadaan bersungguh-sungguh. Allah SWT berfirman:

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (QS Ali ‘Imran: 135).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.