Islam telah mengajarkan kita untuk bersikap mulia terhadap semua makhluk Allah SWT di muka bumi ini. Sememangnya menjadi kewajipan bagi mereka yang mengaku Muslim untuk berakhlak mulia. Mereka bergaul dengan masyarakat penuh lemah lembut dan bertolak ansur, pintar dan berintegriti. Akhlak yang baik atau mulia ini sangat pentingnya dimiliki oleh semua orang yang bergelar Muslim kerana akhlak yang baik adalah cermin keimanan seseorang. Bahkan akhlak yang baik atau akhlak yang mulia adalah ciri utama orang beriman yang paling sempurna imannya sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:
“Orang beriman yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya.” (HR at-Tirmizi dan Abu Daud).
Kita boleh melihat betapa pentingnya kedudukan akhlak dalam Islam kerana antara misi utama diutusnya Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia itu sendiri seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (HR Bukhari).
Sedangkan Mukmin yang berakhlak yang baik akan dicintai oleh Allah SWT dan juga akan dicintai oleh Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah itu Maha Mulia, mencintai kemuliaan dan keluhuran akhlak.” (HR Bukhari).
Dalam hadis yang lain baginda Rasulullah SAW bersabda:
“Hamba Allah yang paling aku cintai adalah yang terbaik akhlaknya.” (HR al-Hakim).
Sementara itu, pemberian terbaik yang Allah berikan kepada manusia adalah akhlak yang baik. Saidina Usamah bin Zaid pernah bertanyakan soalan kepada Rasulullah SAW:
“Katakanlah kepada kami wahai Rasulullah, apakah pemberian paling baik yang diberikan Allah kepada manusia? Lalu Baginda SAW bersabda: “Akhlak yang baik.” (HR Ibn Majah).
Namun, sudah ketetapan bahawa tidak semua mempunyai hati seperti itu kerana masih ramai manusia yang berakhlak dengan akhlak tercela dan suka mementingkan diri sendiri serta tidak mahu menolong antara satu sama lain. Jika kita lihat pada hari ini, sifat berhati mulia dan mempunyai sikap saling berkasih sayang serta bertolong bantu di antara satu sama lain semakin hari semakin terhakis. Masing-masing di antara kita saling mementingkan diri dan tidak mempunyai empati terhadap orang lain.
Malah ada sebahagiannya menghina orang yang susah apabila diminta tolong, malah terdapat juga sebahagiannya yang mempersendakan orang lain dengan pekerjaan yang mereka lakukan. Walhal pekerjaan yang mereka lakukan kebanyakannya memudahkan hidup kita di masa depan. Jika kita di dalam situasi ini, apa yang sepatut kita lakukan? Menolong mereka, bersikap mulia dan membantu mereka. Ingat, Allah SWT mendatangkan mereka sebagai ujian buat kita untuk Allah SWT nilai amal kebaikan kita. Manusia yang mempunyai hati yang mulia amatlah payah untuk ditemui ketika ini sedangkan orang yang paling mulia akhlaknya adalah paling beruntung di akhirat kelak kerana amalan merekalah nanti yang paling berat apabila ditimbang di neraca Allah SWT di akhirat kelak. Seperti sabda Rasulullah SAW:
“Sesuatu paling berat ditimbang oleh Allah ditimbanganNya ialah akhlak yang baik.” (HR Tirmidzi).
Justeru, umat Islam wajib mempunyai budi pekerti yang mulia sebagaimana yang dicontohkan Nabi Muhammad SAW. Mereka bersikap penyayang dan belas kasihan, tetapi dalam masa yang sama bersikap tegas dan berhemah. Ingatlah bahawa setiap umat Islam adalah duta kepada agama Islam. Jangan sesekali merosakkan reputasi agama dengan kelakuan kita dengan menunjukkan contoh akhlak yang buruk kerana akhlak yang buruk bukanlah dari ajaran Islam yang sempurna ini.
Sumber: Harian Metro (4 Mac 2021)