Malas adalah satu sikap yang negatif bagi umat manusia. Malas adalah kata sinonim dengan ayat tidak mahu melakukan apa-apa, segan atau enggan berbuat sesuatu. Ini adalah satu perkara yang paling tidak disukai oleh Allah SWT dan RasulNya. Semua orang tahu malas itu bukanlah satu sifat yang baik. Menyebutnya sahaja sudah menjelikkan, apatah lagi apabila kita dipertemukan dengan orang bersikap sedemikian.
Namun, ketahuilah bahawa sifat malas itu sebenarnya bertentangan dengan apa yang diajarkan dalam agama Islam. Apabila kita malas dan suka menangguh-nangguhkan kerja atau melakukannya secara sambil lewa, pasti ia akan membuahkan hasil yang kurang memuaskan. Apabila hasil kerja yang dilakukan tidak memuaskan, maka akan timbul rasa tidak puas hati terhadap pihak lain dan berlanjutan hingga kepada perselisihan faham. Tahukah anda semua bahawa sikap pemalas itu merupakan sebahagian daripada sikap golongan munafik? Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas…” (QS An – Nisa: 142).
Petanda kemusnahan sahsiah masyarakat dan umat ialah apabila mereka begitu mudah mengikut hawa nafsu, berusaha memenuhi dan menghapuskan segala rintangan yang menghalang mereka daripada memperoleh apa dikehendaki. Sesungguhnya, jiwa dan diri manusia memerlukan masa yang panjang untuk memperbetulkan tabiat, serta sikap selain mempunyai tenaga mencukupi bagi membendung hawa nafsu seperti menundukkan perasaan malas. Sabda Rasulullah SAW:
“Sejahat-jahat musuh kamu ialah nafsu kamu sendiri yang berada antara dua rusuk kamu.” (HR Baihaqi).
Maka, adalah wajib bagi seseorang itu mendidik nafsu dan bagi tujuan itu sewajarnyalah kita mengetahui akan tingkatan nafsu. Hindarilah perasaan malas kerana ianya semua adalah permainan syaitan untuk menyesatkan kita dan membuatkan kita ingkar akan perintah Allah SWT.
Sumber: Sinar Harian (15 November 2019)