Home Kemanusiaan/Motivasi MENCARI YANG HALAL ITU ADALAH SUATU KEWAJIPAN KE ATAS SETIAP MUSLIM DEMI...

MENCARI YANG HALAL ITU ADALAH SUATU KEWAJIPAN KE ATAS SETIAP MUSLIM DEMI MENDAPAT REDHA ALLAH SWT DI DUNIA DAN AKHIRAT

7344
0

Maksud perkataan halal mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka adalah sesuatu hukum yang membenarkan sesuatu perbuatan dilakukan dalam Islam, diperbolehkan (tidak ditegah oleh syarak), diizinkan dan dibenarkan. Halal membawa maksud luas mengenai tatacara hidup orang Islam yang menitikberatkan aspek ‘halalan thoyyiban’ iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan sihat. Firman Allah SWT:

“Wahai para Rasul! Makanlah dari (makanan) yang baik-baik, dan kerjakanlah kebajikan. Sungguh, Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (QS al – Mu’minun: 51).

Walaupun kita hidup dalam serba kecanggihan dan moden, akan tetapi harus diingat bahawa sebagai Muslim kita masih terikat dengan batas agama. Umat Islam dituntut supaya mencari yang halal. Mencari yang halal itu adalah wajib. Maknanya umat Islam disuruh mencari kalau ia makan dan minum carilah yang benar-benar halal lagi baik, yakni suci, bersih dan berkhasiat. Begitu juga untuk mencari dan memilih restoran, kedai makan dan gerai makan, carilah dan pilihlah yang benar-benar dijamin halalnya, bersih, kemas dan menyenangkan selera. Dalam hal pekerjaan juga sama, Islam menuntut umatnya mencari pekerjaan yang halal dan dibenarkan oleh syariat. Pekerjaan yang tidak halal dari segi syariat tidak akan mendapat keberkatan razeki dan tidak akan diredhai oleh Allah SWT. Ini selaras dengan anjuran Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:

“Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap orang Islam”. (HR Ibnu Abdil-Barr).

Kisah tentang mencari yang halal Ini boleh kita ambil iktibar seperti yang dikongsikan oleh seorang pemuda di laman Facebooknya iaitu tentang situasi dimana keika beliau selesai membeli barang di sebuah pasar mini yang terletak di Selangor. Beliau mengatakan sejurus selesai melakukan pembayaran, beliau terlihat seorang warga asing sedang menunggu giliran bagi membuat bayaran untuk minuman keras.

Apa yang dilakukan pemuda tersebut, beliau menegur juruwang yang juga seorang beragama Islam dengan bertanyakan adakah beliau akan meneruskan transaksi ini. Beliau seterusnya mengatakan bahawa sekiranya transaksi ini diteruskan maka beliau akan melaporkannya kepada pihak berkuasa kerana melakukan satu transaksi kepada perkara atau barangan yang haram adalah satu jenayah syariah di Selangor.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas), dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara yang syubhah (yang tidak terang halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh manusia. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatannya dirinya.” (HR Bukhari & Muslim).

Ingatlah, agama Islam sangat menitikberatkan tentang soal halal dan haram dengan sangat teliti. Ia bukan sahaja berkaitan dengan pemakanan, malah soal pemakaian dan pekerjaan juga turut diambil kira. Ini penting dalam menjaga keselamatan umat Islam itu sendiri dan demi mendapat keredhaan Allah di atas setiap urusan kehidupan yang kita lakukan. Adakah kita sanggup merisikokan diri untuk sebuah transaksi haram seperti situasi di atas? Ini baru disabitkan dengan jenayah syariah. Bagaimana jikalau kita terjebak dengan transaksi yang disabit dengan jenayah berat? Ia sudah tentu akan meranapkan masa depan kita hanya dalam sekelip mata. Ingatlah, mencari yang halal itu fardhu dan menjadi kewajipan ke atas setiap umat Islam.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, cawangan Sabah