Setiap daripada kita tidak kira muda, belia dan dewasa kini pasti mempunyai satu atau dua gajet harian untuk menjalankan aktiviti kehidupan seharian. Malah, mutakhir ini gajet adalah sebahagian daripada “nyawa” setiap manusia. Hal ini kerana banyak perkara dapat dilakukan dengan menggunakan gajet itu sendiri seperti untuk berkomunikasi, mencari berita, berhibur, berforum dan banyak lagi aktiviti yang dapat dilakukan menggunakan gajet lebih-lebih lagi apabila ia terhubung dengan jaringan internet.
Namun, kita seringkali mendengar kes penyalahgunaan gajet atau teknologi untuk melakukan pelbagai kegiatan tidak sihat. Hal ini ditambah pula dengan kegiatan yang dilakukan oleh penggodam laman web, masalah pengintipan (eavesdropping) serta mencuri maklumat peribadi individu untuk penipuan. Keadaan ini sedikit sebanyak menyebabkan masyarakat berada dalam dilema, sama ada mahu mempercayai atau terus menafikan sesetengah berita atau maklumat yang disebarkan melalui internet. Jika secara lisan berita atau maklumat boleh dimanipulasi dan dikelirukan, begitu juga melalui internet.
Dalam menyampaikan berita, seseorang itu mesti bertanggungjawab dalam segala ucapan dan penyampaiannya. Oleh itu seharusnya berhati-hati dalam setiap aspek yang dilakukannya. Hal ini kerana Allah SWT memandang berat terhadap perbuatan ini dan Nabi SAW memperingati umatnya supaya berhati-hati di dalam menyampaikan sesuatu berita seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:
“Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.” (HR At – Tirmidzi).
Selain itu, Allah SWT juga memperingati bahawa janganlah meyakini sesuatu perkara itu sebelum memastikan kebenarannya. Dan tidak mengikuti prasangka dan khabar berita yang buruk. Ini kerana setiap pancaindera dan hati manusia akan diperhitungkan di hari Akhirat kelak. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (QS al – Isra’: 36).
Seharusnya kita perlu sedar dan gunakanlah akal dan kepintaran kurniaan Allah SWT untuk memastikan berita atau maklumat yang dihantar serta komunikasi yang berlaku melalui internet itu dalam bentuk beretika dan selari dengan ajaran Islam. Setiap pengguna perlu memastikan gajet yang terhubung dengan internet itu dapat dimanfaatkan untuk menyebarkan berita dan maklumat yang positif serta dapat membina pemikiran masyarakat, menambah ilmu serta memupuk sifat yang baik.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan