Home Kemanusiaan/Motivasi SOLAT ADALAH TIANG AGAMA – PELIHARALAH KEWAJIPAN SOLAT KERANA IA ADALAH BENTENG...

SOLAT ADALAH TIANG AGAMA – PELIHARALAH KEWAJIPAN SOLAT KERANA IA ADALAH BENTENG YANG DAPAT MENCEGAH DARIPADA PERBUATAN DOSA DAN MAKSIAT

701
0

Salah satu perkara yang membawa seorang Muslim ke arah kehidupan yang sempurna dan bahagia itu ialah menunaikan solat. Solat itu merupakan tiang agama. Barangsiapa yang mengerjakannya bererti ia telah menegakkan agamanya dan barangsiapa yang meninggalkannya bererti ia telah merobohkan agamanya. Kepentingan solat ini sebagai tiang agama adalah seperti sabda Rasulullah SAW:

“Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad.” (HR Tirmizi).

Oleh itu kita umat Islam wajib mengerjakannya. Bahkan Rasulullah SAW ada mengingatkan kepada kita bahawa solat adalah merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT pada hari akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya persoalan pertama yang akan ditanya dipertanggungjawabkan ke atas manusia adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka dia termasuk orang yang beruntung dan berjaya. Namun jika solatnya rosak, maka dia termasuk orang yang kecewa dan rugi.” (Riwayat Al-Imam An-Nasaie).

Catatan sejarah Islam memperlihatkan satu peristiwa penting melibatkan ibadat umat Islam iaitu peristiwa Israk Mikraj. Allah SWT mensyariatkan ibadat solat lima waktu secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW melalui perjalanan satu malam. Ibadat istimewa ini hanya disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad SAW dan tiada pada umat sebelumnya.

Namun, ramai di antara kita pada hari ini masih melalaikan kewajipan yang telah disyarikatkan oleh Islam dan memilih untuk mendekati maksiat dan dosa. Masih ramai dari kalangan umat Islam yang malas bersolat sedangkan mereka sudah tahu itu adalah salah satu kewajipan! Tahukah kita bahawa solat itu menjadi pengukur yang membezakan antara umat Islam dan bukan Islam? Rasulullah SAW bersabda:

“Sungguh, yang memisahkan antara seorang lelaki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat.” (HR Muslim).

Oleh itu, sebagai umat Islam kita diwajibkan memelihara solat kerana solat itu tiang agama dan benteng ketahanan buat kita dari terjangkitnya dosa dan maksiat. Sama-samalah kita mentaati perintah Allah SWT dengan menunaikan ibadah solat agar kehidupan seharian kita akan sentiasa aman bahagia kerana dapat mengindarkan diri dari melakukan perkara-perkara maksiat dan mungkar seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.” (QS Al-Angkabut: 45).

Mudah-mudahan segala amal ibadat kita diterima Allah SWT. Jangan kita sesekali leka dan malas menunaikannya kerana sekali kita leka, maka syaitan akan mula menghasut diri kita agar dekat dengan maksiat, wallahualam.

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam (KHEUB)