Home Radikal JANGAN TERPENGARUH DENGAN SERUAN MEMBELA RAKYAT PATANI DI MEDIA SOSIAL KERANA IA...

JANGAN TERPENGARUH DENGAN SERUAN MEMBELA RAKYAT PATANI DI MEDIA SOSIAL KERANA IA ADALAH AGENDA KUMPULAN MILITAN DAN RADIKAL YANG MEMBAHAYAKAN NEGARA

679
0

Kemunculan gerakan pemisah di wilayah Patani bermula hasil daripada kesan penyusunan semula politik pada dekad pertama abad ke-20 telah meletakkan kawasan bersempadan yang merangkumi wilayah Patani, Narathiwat, Yala dan Satun berada di bawah kawalan kerajaan Siam.

Perbezaan fahaman, kebudayaan, Bahasa dan etnik di antara masyarakat Melayu Selatan Thai dengan penduduk bahagian utara Thai telah menimbulkan reaksi kurang menyenangkan di pihak komuniti Selatan Thai. Diskriminasi yang diberikan pihak kerajaan Thai kepada masyarakat di Selatan Thai yang beragama Islam dan berbangsa Melayu telah membawa kepada penentangan Muslim berbentuk permusuhan politik dan agama.

Pencabulan hak asasi melalui peralihan kuasa dan penyerapan undang-undang syariah ini telah menyebabkan masyarakat Melayu di Selatan Thai memberontak sehingga kini dan menentang terhadap kepimpinan pemerintahan Thai yang didasari agama Buddha sebagai agama rasmi.

Rentetan daripada itu, kita melihat terdapat ramai rakyat Selatan Thai berhijrah ke Malaysia untuk menjalani kehidupan yang lebih stabil dan keluar dari kawasan yang bergolak. Namun, pada masa yang sama kita tidak boleh menafikan ‘semangat kenegerian’ itu pasti ada dalam setiap individu yang berasal daripada Selatan Thai.

Kajian juga menunjukkan bahawa kerancakan ‘semangat’ yang dicanang di media sosial oleh rakyat Selatan Thai yang bermastautin di Malaysia sedikit sebanyak mendatangkan kegusaran dari sudut keselamatan setempat dan negara. Bukan itu sahaja, malah bangsa Melayu yang menetap di Malaysia juga dikhuatiri mudah terpengaruh kerana simpati atas nama ‘Melayu’, ‘Islam’ dan ‘serumpun’.

Memang diakui kini masih tiada ancaman yang bahaya, namun pergerakan dan aktiviti mereka di Malaysia sama ada secara fizikal mahupun atas talian perlu diawasi bagi mengelakkan konflik yang berlaku di Selatan Thai turut mencetuskan suasana bahaya yang boleh mengancam keselamatan negara ini. Apatah lagi jika negara ini dijadikan markas atau tempat bagi kumpulan militan dan radikal Islam untuk melancarkan serangan ke atas pemerintah kerajaan Thai di Selatan negara itu yang memang menjadi sempadan negara kita.

Perkara ini perlu dibendung sejak awal kerana sebarang kewujudan kumpulan radikal dan militan yang menjadikan negara ini sebagai markas dan berusaha untuk menarik sokongan penduduk Islam negara ini, pastinya akan menimbulkan masalah dan ancaman yang besar kepada keselamatan negara kita.

Sumber: Jurnal Hadhari, 9 (1) (2017), UKM