Home Kemanusiaan/Motivasi SOP MASJID AKAN DILONGGARKAN AYUH!!! SAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID DEMI MENINGKATKAN SYIAR ISLAM...

SOP MASJID AKAN DILONGGARKAN AYUH!!! SAMA-SAMA MENGIMARAHKAN MASJID DEMI MENINGKATKAN SYIAR ISLAM DAN MEREBUT GANJARAN BESAR YANG DIJANJIKAN ALLAH SWT

594
0

Akhirnya pengumuman yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di seluruh negara tiba jua. Pengumuman dibuat kerajaan berhubung peralihan negara ke fasa endemik bermula 1 April depan adalah perkara yang sangat dinantikan lebih-lebih lagi berkaitan aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau yang kembali dibenarkan tanpa penjarakan fizikal.

Hal ini memberi satu kelegaan di hati umat Islam apatah lagi bulan Ramadan bakal tiba tidak lama lagi. Oleh itu, sebagai tanda menzahirkan rasa kesyukuran, umat Islam perlulah merebut peluang yang diberikan dengan meningkatkan penyertaan dan kehadiran ke masjid serta surau untuk menunaikan solat secara berjemaah, mengikuti kuliah, kelas pengajian, bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung seterusnya Malaysia berada dalam perlindungan Allah SWT. Ini sebagaimana yang difirman oleh Allah SWT:

Adapun nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” (QS Al – Dhuha: 11).

Jadi, dengan kelonggaran yang diumumkan ini mampu memberikan peluang buat kita untuk memantapkan lagi keimanan kita kepada Allah SWT. Bukankah ini yang kita mahukan? Bagi golongan melazimi solat berjemaah di masjid dan surau, kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diumumkan sudah tentu menambahkan kenikmatan dalam beribadah kerana ia bukanlah amalan yang dilakukan secara bermusim. Antara tanda seseorang mendapat kemanisan iman ialah apabila dia sangat senang dan cinta untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT pada setiap masa.

Rasulullah SAW bersabda:

“Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia bersujud. Maka perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud).” (HR Muslim).

Setiap anggota masyarakat perlu saling mengingatkan antara satu sama lain untuk meluangkan masa bagi mengunjungi dan mengimarahkan masjid serta surau sekali gus merebut ganjaran besar yang dijanjikan sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Sesiapa yang pergi ke masjid atau pulang, Allah akan sediakan baginya tempat dalam syurga seperti pergi dan pulang.” (HR Muslim).

Justeru, marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadah kita kepada Allah SWT agar kita menjadi seorang Muslim yang baik dengan menjadikan masjid sebagai tempat utama untuk dikunjungi agar peranannya dalam mentarbiah insan, memperbaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemungkaran dan membina masyarakat atas asas takwa dan keredaan Allah SWT dapat dijayakan. Sekarang bukanlah masanya untuk kita terus berpolemik dan berdebat sesama sendiri atau menjadi pejuang papan kekunci yang galak mengkritik dan melemparkan kecaman di laman media sosial semata-mata.

Sebaliknya, ayuhlah kita menjadi pejuang sejati dengan merebut peluang untuk melipatgandakan amal ibadat khususnya dalam mengimarahkan masjid dan surau agar ia menjadi bekalan berharga di akhirat kelak.

Sumber: Harian Metro (12 Mac 2022)