Home Kemanusiaan/Motivasi SAHABAT SAMPAI SYURGA – HARGAILAH SAHABAT YANG SOLEH

SAHABAT SAMPAI SYURGA – HARGAILAH SAHABAT YANG SOLEH

202
0

Setiap dari kita pasti mempunyai sahabat paling tidak hanya seorang. Ada orang meletakkan sahabat lebih dekat berbanding dengan kawan. Kita mungkin mempunyai ramai kawan namun belum tentu semuanya dalam kategori sahabat. Sahabat itu sentiasa berada dekat dalam kehidupan. Ketika senang, dialah bersama meraikannya dan ketika susah dia tetap bersama dengan menghulurkan bantuan.

Oleh itu, bagaimana cara untuk memastikan hubungan kita dengan sahabat kukuh dan dia sentiasa ada walau apa jua situasi? Rasulullah SAW sebenarnya ada memberikan panduan agar persahabatan yang dibina kekal sehingga akhir hayat. Sabda Baginda SAW:

“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam satu majlis serta panggillah dia dengan nama yang paling disenanginya.” (HR At – Tabrani).

Ingat, jangan sesekali kita mencari sahabat yang menyesatkan kita ke jalan yang tidak benar. Ramai di kalangan kita pada hari ini yang tersimpang jauh dari jalan agama kerana pengaruh sahabat. Akhirnya penyesalan datang kemudian hari apabila merasakan diri telah rosak. Sekiranya kita dianugerahkan keluarga atau sahabat yang telah membuatkan kehidupan kita yang singkat ini lebih indah dan bermakna, maka bersyukurlah dan hargailah sebaiknya.

Suatu hari nanti di padang mahsyar kita akan menyesal kerana tidak berdamping dengan sahabat yang soleh kerana orang – orang yang rugi di akhirat nanti akan mengeluh dengan penuh penyesalan seperti mana Allah SWT menyebutnya di dalam al – Quran. FirmanNya:

“Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).” (QS al – Furqan: 28 – 29).

Jalinan persahabatan perlulah didasari tujuan yang betul. Sekiranya sesuatu ikatan persahabatan itu terjalin atas sebab duniawi atau bagi tujuan kemungkaran, maka ikatan tersebut tidak akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT, malah akan mencetuskan perbalahan di kemudian hari. Akan tetapi sekiranya hubungan persahabatan itu didasari dengan niat membawa keuntungan hingga ke akhirat, seseorang itu akan menerima rahmat Allah SWT dan diberi peluang untuk menyelamatkan sahabatnya yang berada di dalam neraka.

Sumber: Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)