Sejak kebelakangan ini, pelbagai kejadian dan fenomena alam yang berlaku mengejutkan dan menarik perhatian orang ramai seperti gempa bumi, kejadian tanah runtuh, angin ribut yang memusnahkan kediaman, hujan batu, fenomena salji di Gunung Kinabalu dan banjir besar yang melanda beberapa negeri. Lantas fenomena dan peristiwa tersebut sering dikaitkan dengan pelbagai teori dan andaian tentang tanda-tanda usia bumi yang semakin menuju ke penghujung.
Walau apapun teori dan andaian yang diberikan namun perkara lebih utama bagi seorang Muslim adalah menginsafi bukti kekuasaan dan keagungan Allah SWT pada setiap kejadian yang berlaku di langit dan bumi. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:
“Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.” (QS Al – Baqarah: 117).
Segala kejadian alam yang berlaku bukanlah semata-mata untuk direnungkan, sebaliknya mengajak umat manusia untuk bertadabbur (berfikir), mengkaji dan meneliti hikmah di sebaliknya bagi meningkatkan keimanan kepada Allah SWT. Bukan itu sahaja, fenomena alam yang kerap berlaku pada ketika ini mengajak manusia untuk memuji kebesaran Allah SWT dengan cara berzikir, bertasbih, berdoa, dan mengabdikan diri kepadaNya. Lihat betapa agungnya kuasa Allah SWT yang Maha Besar ini, bukankah kita sepatutnya mensyukuri dengan kekuasaan Allah SWT? Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” (QS Ali ‘Imran: 190).
Justeru itu, marilah kita menghayati dan menginsafi diri kita melalui fenomena-fenomena alam yang berlaku ini. Seharusnya dengan fenomena ini kita lebih menginsafi diri kita dan lebih beribadah kepada Allah SWT. Ingatlah, sesungguhnya segala peristiwa keajaiban fenomena alam semesta kepada manusia adalah asbab untuk mendekatkan diri hamba kepada Pencipta.
Sumber: Harian Metro (19 Mac 2022)