Mutakhir ini, begitu banyak sekali video-video yang beredar menunjukkan perilaku akhlak umat Islam yang terkinja-kinja di hadapan kamera hanya untuk meraih ‘like content’ semata-mata. Bukan itu sahaja, ada yang menggunakan cara sebegitu untuk melariskan perniagaan mereka, sebagai contoh sebuah akaun di media sosial TikTok yang merakam aksi peniaga teh ais viral yang meletakkan syarat kepada pelanggan yang mereka perlu menari jika ingin mendapatkan minuman percuma. Ini sama sekali keterlaluan! Rata-rata yang terlibat semuanya beragama Islam. Adakah perlu untuk menggadaikan Muslim semata-mata mahu mendapatkan sesuatu benda yang percuma?!
Di mana harga diri kita sebagai seorang Muslim? Firman Allah SWT:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…” (QS An – Nur: 31).
Maruah diri kita berkaitan dengan perkara bersifat peribadi. Tidak semua perkara boleh dikongsikan kepada orang lain. Dengan kepesatan media sosial sekarang, ramai dalam kalangan kita mudah berkongsi perkara bersifat peribadi dalam laman sosial masing-masing. Tanpa disedari, perkara itu akan diketahui khalayak awam termasuk orang yang tidak dikenali. Apabila berita itu tersebar dengan meluas, akhirnya akan menjejaskan maruah diri. Usah marah sekiranya cerita peribadi itu disebarkan tanpa kawalan kerana hakikatnya kita yang membuka pekung diri sendiri. Sememangnya manusia suka mendengar cerita sensasi dan tanpa usul periksa menyebarkannya pula.
Setiap individu Muslim wajib menjaga diri dan maruah dengan memelihara diri daripada melakukan perbuatan yang mencemarkan nama baik dan menjatuhkan kehormatan diri sendiri. Memelihara diri dan maruah amat penting demi menjaga kemuliaan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Umat yang bermaruah ialah umat yang memiliki jati diri dengan berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terpengaruh dengan unsur-unsur asing yang merosakkan. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (HR Bukhari).
Sebelum maruah tergadai, elok kita berhati-hati dengan tindakan sendiri terutama apabila berkongsi kisah dalam media sosial. Jika setiap umat Islam dapat menjaga maruah diri, secara tidak langsung keadaan itu menggambarkan ketinggian martabat Islam yang jelas menggariskan elemen akhlak sebagai antara perkara utama dalam agama.
Sumber: Harian Metro (22 Oktober 2018)