Pemikiran Hizbut Tahrir terbahagi kepada dua iaitu: Pertama, prinsip dalam masalah keyakinan. Kedua, prinsip dalam pengamalan hukum Islam. Konsep akidah bagi HizbutTahrir bersandar kepada akal fikiran. Sebagaimana dalam Kitab al-Imam, Hizbut Tahrir mengatakan bahawa Islam telah membangun akidah di atas akal sehingga dapat dicerna dan diketahui atau dari rujukan yang tetap menurut akal fikiran seperti al-Quran dan al-Sunnah yang mutawatir.
Manakala dalam pengamalan hukum Islam pula, Hizbut Tahrir memahami bahawa kita tidak perlu berdakwah berkenaan dengan amalan solat, puasa atau hukum-hukum lainnya. Ini adalah kerana menurut pandangan mereka, ia harus dikerjakan oleh pemerintah Islam selepas ia dibangunkan negara Islam. Menurut Hizbut Tahrir lagi, perbezaan di antara dakwah yang dipikul oleh jamaah Islam dengan dakwah yang dipikul oleh negara Islam ialah sekiranya sebuah negara Islam tanggung jawab pemerintah adalah untuk berdakwah agar rakyatnya melaksanakan amal Islami, iaitu menyesuaikan Islam dalam urusan dalaman dengan penyesuaian penuh.
Menurut Hizbut Tahrir lagi, tanggung jawab dakwah bagi jemaah Islam ialah dakwah yang mengarah kepada amalan-amalan yang berkaitan dengan fikrah yang tidak dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti ibadah lainnya. Hal ini kerana umat Islam perlu melaksanakan perkara yang lebih utama di bawah arahan ketua dalam jemaah untuk mewujudkan Daulah Islamiyyah. Kemudian bila tercapai Daulah Islamiyyah, tanggung jawab menyeru umat Islam untuk melaksanakan ibadah akan dilakukan oleh pemerintah Islam.
Menurut mereka, sejarah menyaksikan kehidupan Rasulullah s.a.w. di Madinah digunakan sebagai qudwah atau ikutan dalam langkah penyesuaiannya dengan Islam. Walaupun nampak kenyataan Hizbut Tahrir ini secara logik akalnya baik tetapi ia bercanggah dengan konsep dakwah Islamiyyah kerana kewajipan berdakwah mentauhidkan Allah dan menyeru supaya beribadah kepada Allah terutamanya solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain adalah kewajipan utama sebagai seorang Muslim. Oleh itu, prinsip dakwah yang mengutamakan dakwah pemikiran untuk menegakkan Khilafah dan mengabaikan dakwah menyeru umat supaya beribadah kepada Allah adalah pemahaman yang keliru dan menyesatkan.
Sumber: Unit Penyelidikan, Alhaqcentre Malaysia