Hizbut Tahrir merupakan satu ideologi yang mungkin kelihatan ideal dari sudut prinsipnya, namun dari sudut pelaksanaannya ia mungkin tidak mampu dicapai khususnya dalam dunia yang semakin bergolak.
Pada hakikatnya, semua umat Islam menyokong perlantikan Khalifah dan pembentukan sistem Khalifah yang benar, tetapi fahaman Hizbut Tahrir ini perlu ditolak kerana mereka mudah mengkafirkan umat Islam dan mempunyai akidah yang tidak selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dimanakah logiknya perjuangan Hizbut Tahrir ini tidak dapat dilihat. Apa yang pasti kewujudan mereka dan juga usaha hasutan mereka telah mempengaruhi masyarakat khususnya para mahasiswa dan golongan-golongan cerdik pandai termasuklah para pensyarah yang berkelulusan Doktor Falsafah dan dikenali dalam bidang mereka.
Disebabkan mereka mengharamkan demokrasi, dikhuatiri suatu hari nanti apabila mereka berjaya berkempen agar masyarakat Islam Malaysia tidak keluar mengundi, maka rakyat bukan Islam akan menguasai bahagian pentadbiran negara dan menguasai keseluruhan sistem di Malaysia. Walaupun nampak mustahil untuk berlaku sebegitu, namun tiada yang mustahil. Selagi ada ruang dan peluang yang dibuka oleh masyarakat Islam, selagi itu juga ada peluang dan ruang untuk pemimpin golongan bukan Islam untuk terus menguasai Malaysia.
Takala pemimpin Islam sedang berkempen untuk rakyat mengundi pemimpin-pemimpin Islam dan pemerintah yang majoritinya Islam agar menang dalam pilihanraya dan seterusnya memelihara hukum-hukum Islam, dikala itu jugalah Hizbut Tahrir berkempen mengharamkan rakyat keluar mengundi.
Maka pada waktu itu, mungkin golongan bukan Islamlah nanti yang akan menguasai Malaysia. Pada waktu itu juga, usahkan Khilafah, penegakan syariat Islam di Malaysia pun hanya akan menjadi suatu utopia. Fikirkan sejenak dan marilah muhasabah diri masing-masing adakah kita mengikut ajaran Islam yang sebenar atau telah dipengaruhi oleh anasir-anasir yang telah memesongkan akidah kita secara tidak sedar?
Sumber: Majalah Al-Kuliyyah, Jabatan Agama Islam Selangor, Disember 2008 dan Jurnal Pengajian Islam, Akademi Islam, KUIS.