Drama Madu atau Racun yang kini ditayangkan di platform iQIYI merupakan karya tempatan terbitan MIG Production dengan tema konflik rumah tangga dan poligami. Namun, ianya dipalit kritikan dalam kalangan penonton yang mempersoalkan elemen tertentu yang dianggap melampaui batas budaya dan sensitiviti masyarakat Malaysia. Isu seperti unsur songsang, adegan berlebihan dan pendekatan penceritaan yang terlalu “berani” mula diperdebatkan, apatah lagi negara ini mempunyai latar sosial yang majoritinya berpegang kepada nilai agama dan norma ketimuran.
Apa yang lebih membimbangkan, karya hiburan kini dilihat semakin longgar dalam menjaga garis pemisah antara seni dan agama. Industri kreatif sepatutnya menjadi medium mendidik, bukan sekadar mengejar sensasi atau perhatian semata-mata. Sejarah industri tempatan sendiri pernah menyaksikan kontroversi apabila adegan “terlalu panas” dalam drama mencetuskan kemarahan ramai sehingga mendapat teguran pihak berkuasa agama kerana dianggap melampaui batas agama. Jika trend ini berterusan, ia bukan Sahaja menjahanamkan akidah, malah merosakkan nilai masyarakat, memberi gambaran seolah-olah Islam telah diliberalkan dan budaya tempatan semakin hilang arah.
Justeru itu, pihak produksi, penerbit dan pelakon perlu lebih bertanggungjawab dalam setiap karya yang dihasilkan. Kebebasan berkarya bukan lesen untuk mengabaikan sensitiviti agama dan norma masyarakat. Seni tetap ada batas, lebih-lebih lagi dalam konteks Malaysia yang menjadikan agama sebagai asas kehidupan. Jika garis ini terus dilanggar, tidak mustahil kepercayaan masyarakat terhadap industri hiburan tempatan akan semakin terhakis.








