Home Kemanusiaan/Motivasi ISLAM ITU SANGAT BERTOLERANSI TERHADAP SEMUA KAUM, BANGSA DAN AGAMA

ISLAM ITU SANGAT BERTOLERANSI TERHADAP SEMUA KAUM, BANGSA DAN AGAMA

1673
0

Ada yang beranggapan Islam tidak menunjukkan toleransi terhadap agama lain. Malah, ada juga yang menuduh Islam menindas agama lain. Hakikat kebenarannya, semua pertuduhan itu tidak benar kerana agama Islam di Malaysia masih menunjukkan sikap toleransi di kalangan penganut agama lain dengan membenarkan mereka mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa mengganggu kesejahteraan masyarakat.

Namun, dalam bertoleransi, mestilah wujudnya beberapa batas yang perlu dipatuhi. Islam dapat bertoleransi selagi ia dapat difahami dengan baik tentang sempadan-sempadan yang tertentu dalam soal-soal dasar agama itu. Islam malah dari awal lagi memberi jaminan kepada kebebasan manusia memilih agama masing-masing seperti yang ditegaskan di dalam surah al-Kafirun ayat 6 yang bermaksud “bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”

Islam bukanlah agama yang kejam dan memaksa. Malah di zaman pemerintahan Rasulullah SAW, Baginda sentiasa menghulurkan bantuan kepada kaum Musyrikin yang memerangi Banginda. Baginda juga tanpa ragu-ragu melindungi kaum musuh dari disakiti kerana pada pengamatan Baginda, musuh juga merupakan makhluk Allah yang wajar dilindungi daripada bahaya dan kesakitan.

Sabda Rasulullah SAW:

Ketahuilah! sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat bukan Islam) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada hari kiamat.” (HR Abu Daud)

Walau bagaimanapun, ia bukanlah lesen untuk kita menjadikan mereka sahabat hingga akhirnya kita ‘membuang’ kepercayaan terhadap agama sendiri dan mengiyakan kepercayaan mereka. Itu satu konsep yang silap. Bertoleransi bukan bermakna kita mengalah. Umat Islam dianjurkan menggunakan kaedah yang terhormat dan sopan. Sekiranya orang bukan Islam cenderung tidak bersetuju dengan mesej Islam, walaupun semua hujah dan logik diberikan, mereka tetap tidak boleh dikenakan sebarang bentuk paksaan dan kekerasan untuk menerima Islam.

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Harian Metro “Nabi didik sikap bertoleransi dalam masyarakat” (6 September 2018) dan Harian Metro “Amalkan toleransi pikat agama lain” (4 Oktober 2018)