Home Kemanusiaan/Motivasi PERSIAPAN MENJELANG SYAWAL BERSEDERHANALAH DALAM MENYAMBUT AIDILFITRI KERANA BERLEBIH-LEBIHAN...

PERSIAPAN MENJELANG SYAWAL BERSEDERHANALAH DALAM MENYAMBUT AIDILFITRI KERANA BERLEBIH-LEBIHAN DAN MELAKUKAN PEMBAZIRAN ADALAH PERBUATAN YANG DIBENCI OLEH ALLAH SWT

658
0

Kemeriahan satu Syawal bakal menjengah kita tidak lama sahaja lagi. Ada sebahagian daripada kita sudah mula membuat persiapan dengan membeli kelengkapan perayaan seperti baju baru dan aneka kuih muih untuk disajikan kepada para tetamu yang datang berkunjung. Namun, dalam keriangan kita menyambut satu Syawal, janganlah sampai kita terlalu melakukan pembaziran. Bersederhanalah dalam melakukan perbelanjaan. Bukankah itu yang diajarkan dalam Islam?

Walaupun kita disunatkan berhias dan bersederhana pada Hari Raya, tetapi ini bukan bermakna kita boleh berbelanja mengikut kehendak hawa nafsu dengan berlebih-lebihan dan melampaui batas kemampuan diri sendiri. Sambutan Aidilfitri adalah satu tanda bahawa kita telah berjaya menunaikan ibadah puasa dan ibadah lainnya di bulan Ramadan dengan cara yang sederhana di samping menghayati kesusahan golongan Islam lain yang kurang berkemampuan. Sabda Rasulullah SAW:

“Perhatikanlah orang yang berada di bawahmu dan jangan kamu memperhatikan orang yang berada di atasmu, kerana yang demikian itu lebih layak agar kamu semua tidak menganggap mudah nikmat Allah yang telah dikurniakan kepadamu.” (HR Bukhari dan Muslim).

Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertaqwa setelah melalui ujian pada bulan Ramadan, kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin (orang yang bertakwa).

Oleh itu, bersederhanalah dalam melakukan perbelanjaan menjelang Aidilfitri ini. Janganlah kita sesekali terikut-ikut nafsu serakah kita dalam melakukan perbelanjaan. Ya, mungkin sesetengah kita teruja kerana sudah dua tahun kita tidak dapat meraikan Aidilfitri akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan. Namun harus diingatkan, keterujaan kita itu mungkin akan menjadi satu hal yang membebankan dan merugikan diri sendiri pada masa akan datang. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (QS al – Israk: 27).

Sumber: Pelita Brunei, Jabatan Penerangan Negara Brunei Darussalam