Perkembangan ajaran sesat di negara ini dilihat semakin banyak dan serius. Kemunculannya disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah disebabkan ketaksuban dan fanatik melampau kepada guru atau ketua ajaran, mengamalkan ajaran kerohanian atau tasawuf falsafah yang bercampur aduk dengan ajaran kebatinan yang bercanggah dengan Islam, berpegang kepada perkara khurafat dan tahyul selain menganggap ilham, mimpi atau kasyaf sebagai sumber pegangan serta kepercayaan.
Faktor lain juga adalah meliputi penyelewengan tafsiran al-Quran dan hadis untuk kepentingan peribadi atau kumpulan, berpegang kepada pemikiran ateisme, sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama serta menolak disiplin ilmu yang dipegangi oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah. Selain itu, musuh-musuh Islam yang ingin meruntuhkan ajaran Islam dengan mengubah, menyeleweng dan merosakkan ajaran Islam juga menjadi faktor yang menyebabkan ajaran sesat semakin berkembang meskipun langkah-langkah untuk mengawalnya telah diambil oleh pihak berkuasa agama di negara ini.
Kesesatan sesuatu ajaran atau fahaman mempunyai ruang lingkup yang amat luas iaitu sama ada sesat dari sudut kepercayaan atau akidah, sesat dari sudut pengamalan atau syariat dan sesat dari sudut akhlak atau pengabdian antara hamba bersama Tuhannya.
Antara fahaman yang sesat dari sudut kepercayaan atau akidah adalah fahaman-fahaman dan keyakinan yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) seperti keyakinan sesat golongan sejak dahulu lagi seperti golongan Syiah, Murjiah, Khawarij, Qadariyah, Jabariyah dan Muktazilah. Sementara aliran pemikiran dan fahaman moden yang sesat dari sudut kepercayaan atau akidah yang menyalahi pegangan ASWJ adalah seperti Nasionalisme, Ateisme Sekularisme, Liberalisme, Pluralisme, Sosialisme, Kapitalisme dan Komunisme.
Sementara fahaman yang sesat dari sudut pengamalan atau syariat ialah ibadah, ritual atau pengamalan yang diada-adakan menyalahi sumber syariat Islam (al-Quran, as-Sunnah, ijma’ dan qiyas) seperti mengamalkan solat wajib kurang atau lebih daripada lima waktu, solat secara niat sahaja, mengguna pakai kaedah pelaksanaan zakat dan puasa menyalahi pelaksanaan yang ditetapkan oleh Islam, menunaikan haji bukan di Mekah atau dilaksanakan pada bulan selain bulan haji, melaksanakan amalan-amalan lain yang bercanggah dengan syariat Islam seperti membenarkan perzinaan, dan sebagainya.
Kesesatan fahaman dari sudut pengabdian atau akhlak antara hamba bersama Tuhannya adalah seperti pengangungan ketua, guru atau tokoh manusia melebihi kedudukan kemanusiaan. Kebanyakan fahaman atau ajaran sesat dalam kategori ini berselindung di bawah nama tasawuf dan tarekat. Mereka menisbahkan nama kumpul dengan nama-nama tarekat sufi muktabar tetapi hakikatnya mereka tiada kaitan langsung dengan aliran tersebut. Dakwaan palsu tersebut boleh dikesan dari sudut wujud atau tidak pengijazahan dan sanad sesebuah aliran tarekat yang menjadi sandaran.
Sesungguhnya hanya Islam merupakan agama yang diredhai Allah SWT dan mempunyai cara hidup yang lengkap meliputi segala urusan kehidupan manusia. Sesiapa yang mengambil ajaran selain daripada Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan diwarisi oleh ulama-ulama pewaris Nabi yang diperakui kebenarannya, maka ia akan sesat. Islam telah lengkap dengan pengutusan nabi dan rasulNya yang terakhir iaitu Muhammad SAW sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3 bermaksud:
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor