Fahaman Syiah mempercayai bahawa ada al-Quran yang ada pada hari ini adalah al-Quran yang telah dipesongkan dan disorok kandungannya oleh para sahabat. Golongan Syiah mendakwa mereka berpegang kepada mushaf Fatimah dan yakin bahawa mushaf ini adalah lebih lengkap dan tidak pernah diubah sepertimana mushaf uthmani yang menjadi pegangan seluruh umat Islam. Selain itu, mereka juga menolak himpunan hadis-hadis yang ada dalam kalangan Ahli Sunnah seperti al-Bukhari, Muslim, Nasa’i, Ibn Majah, Abu Daud, malah mereka mempunyai himpunan hadis-hadis mereka yang tersendiri.
Sebagaimana diketahui umum, Syiah mempunyai imam-imamnya yang tersendiri dan mempercayai kewujudan imam dua belas. Mereka yakin bahawa imam-imam Syiah yang diiktiraf oleh mereka ini adalah maksum melebihi para nabi. Para sahabat selain daripada Saidina Ali pula dikatakan kafir dan siapa yang mempercayainya juga dihukum telah bertindak kufur. Bukan itu sahaja, fahaman Syiah turut melaknat Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar sehingga menggelarkan sahabat mulia Nabi Muhammad s.a.w ini sebagai ‘dua berhala Quraisy’.
Kita kena faham kedudukan para sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka bukan calang-calang orang. Mereka adalah orang-orang yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk berdamping dengan utusanNya dan membantu Baginda dalam dakwah. Namun, golongan Syiah mencela sehingga mengkafirkan mereka. Mereka tidak berhenti di situ. Sebahagian mereka sampai ke peringkat yang paling dahsyat iaitu ada sebahagiannya yang mengangkat Saidina Ali r.a. sebagai Tuhan. Mereka mendakwa Allah menjelma dalam diri Ali bin Abi Talib. Ini semua berlaku pada zaman Saidina Ali r.a. Betapa sesatnya pemikiran orang-orang Syiah pada peringkat seperti ini.
Apabila Saidina Ali melihat sikap mereka yang terlalu mengagung-agungkan dirinya, tentu sahaja Saidina Ali tidak berdiam diri. Siapa sahaja yang mengangkat dia sebagai Tuhan, jelas itu adalah perbuatan kufur, yang mengeluarkannya dari Islam. Maka Saidina Ali memberi amaran kepada mereka supaya bertaubat. Tetapi disebabkan pemikiran sudah rosak, mereka terus mengatakan Saidina Ali adalah jelmaan Tuhan.
Saidina Ali akhirnya menghukum mereka dengan sedahsyat-dahsyat hukuman iaitu dibakarnya mereka. Tetapi pengikut Syiah yang melampau, apabila melihat Saidina Ali memberikan hukuman begitu, adakah mereka bertaubat? Tidak, bahkan sebaliknya mereka berkata, “Kami pada hari ini lebih beriman dengan engkau wahai Ali sebagai Tuhan, kerana tidaklah yang menyiksa dengan api kecuali Tuhan api iaitu Allah. Maka engkau adalah Allah.”
Pemikiran sebeginikah yang anda puja-puja? Tepuk dada tanya iman.
Sumber: Teks ceramah Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman di IPD Serdang- 06 Disember 2013