Home Ajaran Sesat THE AHMADI RELIGION OF PEACE & LIGHT: AJARAN SESAT DAN JENAYAH EKSPLOITASI...

THE AHMADI RELIGION OF PEACE & LIGHT: AJARAN SESAT DAN JENAYAH EKSPLOITASI MANUSIA

69
0

Kumpulan ajaran sesat Ahmadi Religion of Peace & Light (AROPL) pernah menjadi sensasi di Malaysia apabila cuba menyebarkan ideologi menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar seperti meyakini ketua AROPL, Abdullah Hashem, sebagai Imam Mahdi, mengajarkan reinkarnasi, menganggap solat dan hijab tidak wajib, membenarkan alkohol, membenarkan LGBT dan sebagainya.

Pada 29 APRIL 2026, Polis Cheshire melancarkan serbuan besar-besaran ke atas markas kumpulan ini di Crewe, United Kingdom susulan laporan kes serius termasuk rogol, penderaan seksual, perkahwinan paksa, pemerdagangan manusia dan perhambaan moden. Siasatan mendapati komuniti AROPL ini menempatkan kira-kira 150 penghuni termasuk kanak-kanak daripada pelbagai negara termasuk warga Malaysia.

Apa yang membimbangkan, modus operandi kumpulan ini menepati ciri klasik sebuah kultus iaitu kepimpinan mutlak, pemujaan individu, kawalan ketat ahli, propaganda aktif serta pergantungan ekonomi dan sosial organisasi. Keadaan ini membuka ruang luas kepada eksploitasi dan penderaan tanpa kawalan.

Hal ini menunjukkan bahawa kes ini bukan sekadar isu ajaran sesat biasa, tetapi melibatkan kes jenayah dan ancaman keselamatan sosial. Penglibatan warga Malaysia dalam komuniti AROPL ini menuntut perhatian serius pihak berkuasa. Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar Negeri wajar mengambil langkah proaktif untuk mengenal pasti, melindungi dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap dalam jaringan kultus ini.

Masyarakat harus sedar bahawa meskipun ajaran sesat AROPL ini pernah dibanteras di Malaysia, kes ini membuktikan ancamannya masih wujud dan pengaruhnya boleh meresap masuk. Kes ini juga memperlihatkan bahawa ajaran sesat bukan sekadar isu kepercayaan, tetapi boleh membawa kepada jenayah berat dan penindasan manusia.

Masyarakat perlu lebih peka dan pihak berkuasa perlu bertindak tegas bagi membendung ancaman seumpama ini daripada menular.

Sumber: Facebook Ahmad Iqram Mohamad Noor – 30 APR 2026