Home Kemanusiaan/Motivasi JAGALAH SILATURRAHIM KERANA IA TANDA KESEMPURNAAN IMAN

JAGALAH SILATURRAHIM KERANA IA TANDA KESEMPURNAAN IMAN

1005
0

Ikatan persaudaraan sesama Muslim umpama sebuah bangunan yang saling menyokong antara satu sama lain bagi memastikan kekuatan sesebuah bangunan itu terus terpelihara. Begitu juga diibaratkan silaturahim sesama Muslim yang harus dipelihara supaya dapat menguatkan perpaduan umat Islam.

Islam mendidik umatnya untuk saling menyayangi antara satu sama lain kerana dengan persaudaraan itulah yang akan menguatkan hubungan ukhuwah umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang ingin dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim (hubungan kasih sayang).” (HR Bukhari)

Pentingnya seorang Mukmin menjaga hubungan antara satu sama lain kerana kelebihan memelihara silaturahim akan mendatangkan kebaikan serta rezeki yang murah. Justeru, umat Islam yang memandang remeh hubungan silaturahim pastinya tidak mendapat keberkatan rezeki yang baik.

Bahkan, orang yang tidak mengendahkan menjaga hubungan sesama manusia umpama tidak mengendahkan seruan Nabi Muhammad SAW dan suruhan Allah SWT.

Sebagai seorang Islam, menjadi tuntutan untuk kita mengeratkan hubungan persaudaraan kerana apa sahaja perbuatan dan perlakuan di dunia ini ada kaitannya dengan akhirat. Seorang yang membina persaudaraan kerana Allah SWT juga akan dipelihara hubungan kesatuan sesama manusia di akhirat.

Hubungan persaudaraan sesama Muslim hakikatnya bukan hanya berlaku di dunia, ia juga berterusan hingga ke akhirat. Manusia yang memutuskan silaturahim bukan hanya berada terasing di dunia, malah berseorangan di akhirat kelak.

Kita tidak boleh membiarkan kehidupan dilingkari api kebencian kerana setiap perasaan benci tidak akan membawa manusia ke mana melainkan ia menjadi penyakit hati yang akan memusnahkan. Perasaan benci dalam hati akan memusnahkan diri dan merosakkan ibadah selain hubungan sesama manusia.

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kalian saling dengki, menipu, marah dan memutuskan hubungan. Dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain. Jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lainnya, (dia) tidak menzaliminya dan mengabaikannya, tidak mendustakannya dan tidak menghinanya. Takwa itu di sini (seraya menunjuk dadanya sebanyak tiga kali). Cukuplah seorang Muslim dikatakan buruk jika dia menghina saudaranya yang Muslim. Setiap Muslim atas Muslim yang lain, haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (Riwayat Muslim)

Oleh itu, umat Islam harus menghayati seruan Nabi Muhammad SAW supaya menjadi Mukmin yang benar-benar mendapat keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat. Sifat saling menyayangi, memelihara ukhuwah dan sentiasa membina tautan hati dengan kasih pasti mendapat barakah serta rahmat Allah SWT.

Firman-Nya yang bermaksud: “Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al Hujurat, ayat 10).

Ketahuilah bahawa kesempurnaan iman seseorang tidak hanya setakat beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, bahkan menjaga hubungan sesama Mukmin juga menjadi kayu pengukur terhadap kesempurnaan iman.

Sumber: Berita Harian, 16 Ogos, 2015.