Home Kemanusiaan/Motivasi GURU PETUNJUK JALAN KEBAIKAN. HORMATI, SAYANGI DAN MULIAKANLAH GURU KITA

GURU PETUNJUK JALAN KEBAIKAN. HORMATI, SAYANGI DAN MULIAKANLAH GURU KITA

996
0

Walaupun tarikh hari guru sudah pun berlalu, namun masih belum terlambat untuk kita meraikannya. Guru pertama yang mengajar kita mengenali dunia adalah ibu bapa kita. Seterusnya kita dihantar ke sekolah untuk lebih mengenali dan belajar tentang kehidupan sebenar. Dan itu adalah tugas hakiki seorang guru.

Guru adalah seorang insan yang bertanggungjawab dan memainkan peranan yang sangat besar dalam membimbing dan mendidik manusia untuk menjadi insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Tugas seorang guru walau pada zahirnya nampak mudah, tapi hskikatnya memerlukan seribu satu pengorbanan yang sangat besar. Islam memandang mulia tugas seorang guru dan kedudukannya diangkat di sisi Allah SWT seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

“Allah meningkatkan orang yang beriman antara kamu dan orang yang berilmu pengetahuan agama beberapa darjat.” (QS al-Mujadilah: 11).

Bahkan, Rasulullah SAW pun bersabda:

“Dunia ini dan seisinya adalah dilaknat kecuali mengingati Allah iaitu orang yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang ‘alim (guru) dan pelajar.” (HR Ibn Majah dan at – Tirmizi).

Berapa ramai dalam kalangan kita yang memasukkan nama-nama guru mereka dalam doa setiap hari? Ia tidak memerlukan modal wang ringgit, hanya sekelumit usaha yang ikhlas. Berdoalah dengan doa kebaikan yang banyak buat si guru. Semoga guru dipanjangkan usia dalam keadaan sihat agar dapat terus berbakti mendidik anak murid mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  

“Sesiapa yang memberikan kebaikan untuk kalian, maka balaslah (kebaikan tersebut). Jika engkau tidak mampu membalasnya, doakanlah untuknya sampai engkau yakin telah benar-benar membalasnya.”  (HR Abu Dawud).

Oleh itu, kita digalakkan untuk sentiasa menghormati, menyayangi dan mendoakan guru-guru kita walaupun kita sudah lama meninggalkan alam persekolahan. Usah hanya mengingati guru ketika tibanya tanggal 16 Mei. Sebaliknya teruslah mengenang jasa mereka dalam untaian doa harian. Mudah-mudahan ia menjadi petunjuk adanya keberkatan dalam mengamalkan ilmu yang diperoleh daripada guru selama ini. 

Sumber: Harian Metro (18 Mei 2022)