Ajaran Islam sentiasa menganjurkan pembaharuan dan penambahbaikan di dalam hidup. Ajaran Islam juga menuntut umatnya agar sentiasa bersegera dalam melaksanakan sesuatu tugasan dan amalan kebajikan serta menjauhi sifat bertangguh-tangguh. Firman Allah SWT:
“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.” (QS Al – Hadid: 21).
Sikap menangguh atau melambat-lambatkan suatu pekerjaan tidak digalakkan kerana ia bukanlah sikap yang baik. Kerja yang bertangguh atau sengaja dilambat-lambatkan akan menghasilkan output yang kurang sempurna. Maka kerana itu, ajaran Islam sentiasa mengingatkan bahawa setiap kerja yang diamanahkan mestilah dibuat dengan teliti dan sempurna. Bahkan, dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW mengingatkan:
“Barang siapa yang suka melambat-lambatkan pekerjaannya, maka, tidak akan dipercepatkan hartanya.” (HR Muslim).
Sebenarnya, Islam mendidik umatnya supaya sentiasa bersemangat apabila melakukan sesuatu pekerjaan dan juga dalam mengerjakan ibadah. Rasulullah SAW juga mengingatkan supaya umatnya jangan menjadikan sikap suka bertangguh atau melambat-lambatkan pekerjaan sebagai satu kebiasaan. Ini kerana bimbang ia akan menjadi tabiat dan akhirnya akan menjadikan kita hamba yang tidak cemerlang dalam kehidupan. Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau yang musafir.” Ibnu Umar RA, berkata: “Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu tunggu sehingga ke pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi janganlah ditunggu sehingga ke petang. Gunalah masa sihatmu sebelum masa sakitmu dan gunalah masa
hidupmu sebelum waktu matimu.” (HR Bukhari).
Oleh itu, janganlah sesekali bertangguh dalam mengerjakan ibadah dan kerja. Umat Islam yang berjaya itu seharusnya menjadi yang terbaik, cerdas dan cemerlang. Barulah Islam lebih dipandang tinggi dan dihormati.
Sumber: Maktabah Al – Bakri